Penyamun pusat beli-belah kecundang

PETALING JAYA: Cubaan empat anggota geng samun mencari sasaran terbaru di sebuah pusat beli-belah, di sini mengundang padah apabila mereka yang memandu kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan berjaya diberkas pengawal keselamatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pengawal keselamatan bertugas yang melihat suspek dalam keadaan mencurigakan cuba menahan kenderaan terbabit namun gagal apabila mereka terus memecut laju di dalam kawasan tempat letak kereta.

Malah, dalam usaha mereka meloloskan diri, suspek sanggup menggunakan laluan bertentangan sehingga menyebabkan kereta dipandu merempuh beberapa buah kenderaan awam sebelum terbabas dan berjaya dikepung pengawal keselamatan yang kemudian menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia antara 20 hingga 30-an itu datang ke pusat beli belah terbabit dipercayai untuk menyamun namun gagal selepas tindakan mereka itu disedari pengawal keselamatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang digunakan adalah kereta yang dicuri pada jam 9 pagi hari yang sama di sebuah kondominium bersabit laporan kehilangan kereta di Balai Polis Sungai Buloh.

“Hasil semakan rekod, kesemua suspek amat dikehendaki polis berkaitan kes samun dan tiga antara mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Saksi kejadian Mohd Haikal Abdul Rashid berkata, 27, berkata, dia yang ingin pulang ketika itu pada mulanya terdengar bunyi kereta memecut laju disusuli dentuman kuat seperti berlaku perlanggaran.

Menurutnya, sebaik menghampiri kawasan kejadian, dia mendapati sebuah kereta Proton Wira terbabas dan dikepung lebih kurang 10 pengawal keselamatan yang bercota memecahkan kenderaan terbabit.

“Malah ketika itu keadaan sesak kerana kereta tidak dapat bergerak menyebabkan saya keluar untuk melihat apa yang berlaku. Saya kemudian mendapati beberapa kereta rosak teruk akibat dirempuh kenderaan terbabit.

“Selepas keadaan sedikit reda kami kemudian diarahkan menggunakan laluan lain dan pada mulanya saya sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.