Najib dengar protes S114A, arah Kabinet kaji

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta Kabinet agar membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, yang diluluskan baru-baru ini, ekoran bantahan dan kritikan pelbagai pihak – pemimpin Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan.

Menerusi mesej Twitternya malam ini, Najib berkata, sebarang tindakan kerajaan seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat.

“Apa saja kita lakukan, kita harus mengutamakan rakyat,” kata beliau yang kini berada di Makkah.

Kabinet akan mengadakan mesyuarat mingguannya esok, akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa parti komponen Pakatan Rakyat juga memperlihatkan pendirian menyokong kempen protes  #STOP114A – menggesa Kerajaan Pusat mengkaji semula Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, yang dikuatkuasakan sejak Jun lalu.

Dalam kenyataan media hari ini, PKR berkata, pihaknya telah menerima banyak tentangan dari pelbagai sudut masyarakat, termasuk dari ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin berkata, pindaan akta itu meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya kepada pihak yang menuduh, yang jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan.

Kelmarin, gesaan berhubung seksyen itu turut dilahirkan oleh Ketua Pemuda BN dan Umno, Khairy Jamaluddin.

Kempen protes turut meminta orang ramai melahirkan sokongan dengan menandatangani petisyen. Laman sosial Facebook juga dibuka bagi tujuan itu.

Dalam kenyataannya dua hari lalu, Khairy yang juga Ahli Parlimen meminta perhatian kerajaan untuk menambahbaik Akta Keterangan 1950 yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menurut beliau, akta tersebut dilihat masih ada kekurangan dan mempunyai ruang untuk diperbaiki bagi menjamin kebebasan pemilik laman web walaupun telah dipinda.

Katanya, peruntukan yang dimaksudkan adalah dari segi kebebasan dan kebertanggungjawaban pihak yang mengendalikan web.

“Saya telah bangkitkan isu beban bukti kepada peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz untuk mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, terdapat beberapa kelemahan dalam pindaan akta itu.

Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 memperlihatkian pindaan Fasal 2 yang bertujuan mengantikan takrif Komputer yang baru lebih komprehensif dan selaras dengan takrif Komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997.

Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut pula memperuntukkan memasukkan seksyen baru, 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui internet.

Semalam, beberapa pengikut akaun Twitter Khairy juga meminta beliau membawa perkara itu ke Parlimen.

Pandangan itu disampaikan apabila Khairy berkata Parlimen akan bersidang mulai 24 September hingga 27 November ini.