Maut ditikam adik ipar

MELAKA: Aidilfitri sepatutnya disambut dengan amalan bermaaf-maafan, namun bagi dua bersaudara keadaan menjadi sebaliknya apabila seorang lelaki maut akibat ditikam adik iparnya sendiri di Kampung Serkam Pantai, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Rashid Ahmad, 46, mati jam 1.40 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka kerana cedera di bahagian pinggang kiri akibat ditikam dengan pisau.

Sebelum itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan adik iparnya di halaman rumah ibunya jam 7.30 malam sebelum mangsa ditikam.

Kejadian bermula selepas mangsa, anak kelapan daripada 10 beradik, menegur sikap adik iparnya itu yang sering memukul isterinya berusia 36 tahun.