Khyril terkilan saksi pasukannya tewas

PENYERANG kebangsaan Khyril Muhymeen Zambri geram apabila menyaksikan Kedah tewas tipis 1-2 kepada ATM pada perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia, kelmarin.

Dia yang baru menandatangani kontrak baru dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sehingga 2015, terkilan kerana tidak dapat turun membantu.

“Saya kecewa kerana tidak dapat membantu rakan sepasukan kerana di gantung satu perlawanan ketika bertemu Pahang pada perlawanan play off di Melaka pada 17 Julai lalu,” kata Khyril,” katanya.

Apapun dia kini sudah bersedia diturunkan apabila Kedah bertandang ke Kota Bharu bertemu Kelantan, Sabtu ini.

“Kami sedar kesukaran beraksi di Kota Bharu tapi semangat kami tinggi untuk mencipta keputusan meyakinkan mencuri sekurang-kurang satu mata,” katanya.

Menurut Khyril, walaupun Kedah akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan, hatinya tetap bersama skuad Hijau Kuning dan tidak sesekali akan berpindah semata-mata pasukan kesayangan tersingkir daripada Liga Super.

“Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Kedah dan kalau boleh biarlah saya menamatkan karier bersama Kedah, pasukan yang memperkenalkan saya sebagai pemain amatur dan profesional sejak Sukma Kedah 2006,” katanya.

Dia yakin gandingannya dengan penyerang dari Croatia, Vedran Gerc akan bertambah tajam dna berazam untuk menggegarkan gawang Kelantan nanti.