Khyril Muhymeen selamatkan maruah Kedah

Khyril Muhymeen sekali lagi menjadi wira Hijau Kuning apabila menjaringkan dua gol untuk Kedah dalam kemenangan 2-1 ke atas Terengganu.

Kedah mendahului perlawanan seawal minit ke-10 dan kemudian Hadi Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-22.

Ketiadaan Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi yang mengalami kecederaan memberikan kesan kepada skuad Penyu apabila mereka sekali lagi bolos pada separuh masa kedua hasil jaringan Khyril Muhymeen yang menjaringkan gol cantik ketika bertemu Kelantan dalam perlawanan sebelum ini.

Sementara itu, Fauzi Roslan menjaringkan hatrik di Kuantan malam ini termasuk jaringan Hafiz Kamal dan Boris Kochkin untuk menewaskan Sarawak 6-0 dalam saingan Kumpulan D.

Persembahan hambar pasukan Sarawak ternyata memakan diri apabila Pahang mudah mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Sarawak gagal bangkit pada separuh masa kedua apabila Pahang menjaringkan lagi empat gol sekaligus mencatat kemenangan kedua selepas tiga perlawanan yang membukan laluan luas untuk ke suku ahir Piala Malaysia.

Selangor pula berjaya mengutip tiga mata malam ini hasil jaringan penalti oleh Safiq Rahim yang memberikan kemenangan tipis 1-0 ke atas T-Team.

Saingan Kumpulan B di Stadium Selayang pula menyaksikan ATM mengikat juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan 1-1.

Marlon Alex James meletakkan ATM 1-0 pada separuh masa pertama dan telah menyebabkan penyokong Kelantan mula membaling objek ke dalam padang.

Kelantan menjaringkan gol penyamaan pada separuh kedua sumbangan Obinna Nwaneri.

Dalam saingan Kumpulan A, pertemuan semula lagenda Singapura, Fandi Ahmad dan V.Sundramoorthy hanya tamat dengan keputusan 0-0 selepas Johor FA dan LIONSXII masing-masing gagal mencipta sebarang jaringan.

Sementara itu PKNS dan Johor FC juga berkongsi satu mata dengan keputusan 1-1.

Patrick Wleh akhirnya berjaya menjaringkan gol dan membantu Sime Darby dalam kemenangan 3-2 ke atas Felda United malam ini.

Di Stadium Paroi, Negeri Sembilan yang menang 4-0 ke atas Felda United Sabtu lepas telah seri 0-0 dengan Perak.

Highlight Kedah V Terengganu dan ATM v Kelantan