Kedah Guna Taktikal Croatia Harungi Piala Malaysia

Kedah telah menggantikan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dengan jurulatih dari Croatia, Mario Tot untuk kempen Piala Malaysia mereka.

Setiausaha agung Kedah FA, Datuk Hamdan Mohd Khalib mengesahkan semalam Wan Jamak telah pun meninggalkan kelab itu dengan cara yang baik. Ini berikutan spekulasi beliau telah dipecat selepas Kedah disingkirkan dari Liga Super.

“Kami telah menawarkan Wan Jamak jawatan yang lain bersama Kedah FA tetapi beliau memilih untuk berehat dari bola sepak,” Datuk Hamdan berkata dari Alor Star semalam.

Tot, bekas jurulatih di sebuah kelab divisyen satu di Croatia Lokomotiva Zagreb, tiba di Alor Star pada hari Isnin untuk berunding kontraknya bersama KFA. Tot juga pernah menjadi penolong jurulatih untuk kelab Dynamo Zagreb sebelum itu.

Datuk Hamdan berkata Tot telah menandatangani kontrak selama satu tahun dan tugas seterusnya adalah untuk memastikan Kedah memberikan persembahan yang baik di Piala Malaysia selepas kekecewaan disingkir dari Liga Super.

Kedah berada di dalam Kumpulan B, bersama juara Liga Super, Kelantan, juara Liga Premier, ATM dan juga naib juara tahun lepas, Terengganu. – espnstar