Kahwin Gadis Cun Dari Brazil

KUALA LUMPUR: Kebanyakan orang mungkin memasang cita-cita untuk mengahwini gadis cun dan montok dari Brazil atau jejaka tampan dari Itali, tetapi ada rakyat Malaysia beragama Islam memiliki pasangan hidup dari negara berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Bukan saja dari dua negara terbabit, malah ada rakyat Malaysia berkahwin dengan gadis atau jejaka dari negara yang jarang dikunjungi orang seperti Comoros, American Samoa, Guinea dan Sierra Leone.

Ini berdasarkan statistik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dari 2009 hingga 2011 yang diperoleh Metro Ahad.

Statistik itu menunjukkan 1,166 individu mendirikan rumah tangga dengan pasangan hidup daripada 48 negara berbeza. Jumlah itu pasti bertambah jika pendaftaran perkahwinan di jabatan agama Islam negeri lain turut diambil kira.