Justin, Jessica kahwin bulan ini

PENYANYI Justin Timberlake dan teman wanitanya Jessica Biel diberitakan bakal mengakhiri zaman solo mereka di sebuah resort peribadi di Montana, Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Cerita yang disampaikan oleh sumber rapat pasangan itu kepada Celebuzz menjelaskan bahawa mereka akan melangsungkan upacara itu pada bulan ini juga.

Resort ski dan golf mewah yang berkeluasan 54 kilometer persegi itu menjadi lokasi yang dipilih golongan kaya dan berpengaruh termasuklah Justin yang memiliki rumah sendiri di kawasan itu.

Sebelum ini, tempat rahsia itu pernah menjadi lokasi pasangan itu meraikan tahun baharu bersama-sama 40 rakan terdekat dan ahli keluarga.

“Justin dan Jessica selalu menjadikan tempat itu sebagai lokasi percutian pada musim panas dan sejuk. Mereka benar-benar menyukai tempat itu.

“Tempat itu jauh daripada kesesakan dan kesibukan Hollywood. Mereka akan berkahwin di situ,” kata sumber rapat tersebut.

Justin dan Jessica mula menjalinkan hubungan cinta sejak 2007. Jessica turut mengaku bahawa dia tidak melakukan sebarang persiapan untuk hari bersejarah itu kerana segala-galanya telah tersedia.