Hai-O Mahu Piala Malaysia Lagi

Diundi bersama dua bekas pasukannya dalam kumpulan sama, mengimbau kenangan buat ketua pasukan, Hairuddin Omar menjelang saingan Piala Malaysia Rabu depan.

Masih segar di ingatan Hairuddin, yang lebih mesra disapa Hai-O aksinya ketika membantu juara berganda musim ini, Kelantan menamatkan penantian 89 tahun menjuarai Piala Malaysia pada 2010 dan negeri kelahirannya, Terengganu menjulang gelaran sulung mereka pada 2001.

“Bagi saya, kumpulan ini adalah paling sukar antara kesemua dan layak diberikan jolokan ‘Kumpulan Maut’.

“Memang banyak kenangan saya bersama kedua-dua pasukan ini, saya pernah beraksi bersama Kelantan ketika mereka memenangi gelaran pertama mereka pada 2010. Saya juga pernah beraksi bersama negeri kelahiran saya ketika menjuarai Piala Malaysia buat julung kalinya pada 2001.

“Kedah pula, meskipun diturunkan ke Liga Perdana musim depan, tidak boleh dipandang rendah berikutan pengalaman mereka beraksi dalam saingan Piala Malaysia,” tambahnya yang meledakkan 17 gol dalam kempen Liga Super musim ini.

Sungguh pun dilihat sukar, namun tiada yang mustahil buat ketua pasukan ATM itu yang bertekad untuk mencipta kejutan untuk mara ke sekurang-kurangnya peringkat kalah mati.

“Walaupun ATM adalah pasukan ‘underdog’, kami tetap memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan pada saingan kumpulan pada kali ini.

“Kami akan bercuti sehari sebelum kembali berlatih pada Hari Raya kedua. Sebagai pemain bola sepak, kami perlu berkorban cuti Hari Raya demi memastikan kejayaan ATM dalam kempen Piala Malaysia ini,” tambah pemain berusia 32 tahun itu.