Ghaddar didenda

Mohammed Ghaddar Mahmoud digantung satu perlawanan dan denda RM2,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) .

Pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar Mahmoud digantung satu perlawanan dan denda RM2,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mengaku bersalah dalam insiden pergaduhan dengan dua pemain Selangor, 29 Jun lalu.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Taufik Abdul Razak, berkata pemain kelahiran Lubnan itu turut diberi amaran keras kerana bertindak menumbuk pipi kiri pemain tengah Selangor, Mohd Bunyamin Umar pada perlawanan Liga Super itu.

“Beliau dituduh di bawah kesalahan 2.4 kod tataetika FAM edisi 2012 iaitu tidak mempamerkan semangat kesukanan dengan menggunakan tangan dengan niat untuk mencederakan pemain lawan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan hampir tiga jam di Wisma FAM, di sini hari ini.





Dua pemain Selangor – Mohd Amri Yahyah dan Mohd Bunyamin – masing-masing digantung tiga perlawanan selain didenda RM1,500 oleh jawatankuasa berkenaan pada Selasa lepas setelah kedua-duanya mengaku bersalah kerana mengasari Mohammed Ghaddar.

Dalam insiden di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Mohd Bunyamin didakwa menumbuk Mohammed Ghaddar manakala Mohd Amri dikatakan memijak belakang pemain tersebut pada perlawanan yang berpihak kepada Kelantan dengan kemenangan 1-0.

Sementara itu, tiga pegawai Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) masing-masing digantung satu perlawanan dan denda RM1,000 kerana mempertikaikan keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada dua pemain Pahang.

Insiden tersebut berlaku ketika perlawanan kalah mati Liga Super menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka, 19 Julai lepas.

Tiga pegawai tersebut ialah Pengurus Pasukan Datuk Che Nasir Salleh, Penolong Pengurus Zainal Abidin Hassan dan ahli fisioterapi pasukan Mohd Suhaimi Ramli.