Drogba dan Anelka mungkin dijual

SHANGHAI – Dua bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba dan Nicolas Anelka berkemungkinan besar bakal dijual kelab China, Shanghai Shenhua gara-gara kemelut pengurusan kelab itu.

Akhbar China Daily mendedahkan, pengerusi kelab, Zhu Jun yang meme- gang saham sebanyak 28.5 peratus di- laporkan hanya bersedia mengeluarkan peruntukan jika permintaannya menguasai majoriti keputusan kelab itu dipersetujui pemegang saham lain.

Difahamkan, beliau tidak berpuas hati apabila peratusan sahamnya tidak meningkat biarpun telah membuat pelaburan sebanyak $94 juta (RM289 juta) sejak lima tahun lalu.

Disebabkan itu, Jun dilaporkan mahu pengurusan Shenhua menandatangani perjanjian baharu.

Menerusi perjanjian itu, beliau bersedia mengeluarkan dana sebanyak $23.6 juta (RM 72.7 juta) dalam tempoh dua tahun jika sahamnya meningkat sehingga 70 peratus.

“Ia sesuatu yang cukup mendukacitakan kerana memberikan impak terhadap pembangunan kelab.

“Ketika ini, operasi kelab dilihat tergendala gara-gara masalah kewangan yang serius,” dedah satu sumber kelab.

Jika ia gagal diselesaikan segera, tidak mustahil Jun hanya mahu mengeluarkan dana yang terhad, sekali gus berkemungkinan besar menjejaskan gaji pemain.

Masa depan Drogba dan Anelka tidak menentu jika Shenhua gagal membayar gaji mereka kerana kedua-duanya dikatakan memperoleh sekitar AS$300,000 (RM934,650) seminggu.

Biarpun memiliki pemain bintang, Shenhua hanya menduduki tangga ke-10 Liga Super China dengan 27 mata daripada 23 perlawanan, 20 mata di be- lakang pendahulu liga, Guangzhou Evergrande. – Reuters