Doktor tipu rawat 500 pesakit

AUSTELL (Georgia): Seorang lelaki mencuri identiti rakannya dan menyamar sebagai doktor selama enam bulan, merawat hingga 500 warga emas di seluruh Columbia, Carolina Selatan.

Ernest Addo, 48, dari Austell, Georgia, ditahan Jumaat lalu dan didakwa kerana mempraktikkan bidang perubatan secara haram.

Pusat Jagaan Orang Tua Agape, mengambilnya bekerja Februari lalu menerusi dokumen sokongan dan dia merawat pesakit hingga Rabu lalu sebelum berhenti kerja.

Timbalan polis daerah Lexington kini berada di Georgia untuk menyoal siasat suspek dan memulakan proses ekstradisi, kata Sheriff James Metts. Addo menggunakan dokumen milik rakannya, doktor di Orangeburg untuk meyakinkan Pusat Jagaan Orang Tua Agape bahawa dia doktor berkelayakan.

Polis cuba untuk memastikan sama ada Addo mempunyai sebarang latihan perubatan dan masih menyiasat jenis rawatan yang diberikan kepada pesakit di pusat Agape di Columbia Barat, Irmo dan Columbia.

Hari dia berhenti kerja adalah hari sama rakannya menyedari Addo mendaftar kad kredit menggunakan namanya dan segera menghubungi polis. Pihak pentadbiran Agape berkata, semua kelayakan dan nama rujukan yang diberikan Addo adalah sokongan daripada majikan sebelumnya. – Agensi