City, Chelsea buru tiga mata

LONDON – Juara bertahan, Manchester City dan Chelsea yang memenangi trofi Liga Juara-Juara tahun lalu dijangka menjadi tumpuan dalam saingan Liga Perdana England musim ini.

Berbanding beberapa pencabar utama yang lain, City tidak terlalu ‘ghairah’ dalam pasaran pembelian pemain baharu kerana yakin pasukan itu sudah lengkap dan bersedia untuk mempertahankan trofi liga yang dimenangi musim lalu.

Setakat ini, City hanya membeli seorang pemain tengah iaitu Jack Rodwell, 21, dari Everton dengan kontrak bernilai £12 juta (RM59 juta) selama lima tahun.

Bagi Chelsea, kehadiran empat pemain baharu iaitu Eden Hazard, Oscar, Marko Marin dan Thorgan Hazard mampu mengulangi zaman kegemilangan skuad The Blues.

Malam ini, kemampuan kedua-dua kelab gergasi England ini ini bakal diuji.

City yang dibimbing Roberto Mancini menanti kunjungan Southampton di Stadium Etihad manakala skuad kendalian Roberto Di Matteo berkunjung ke Stadium DW untuk bertemu Wigan Athletic.

Mancini berkata, beliau tidak perlu lagi membeli ramai pemain yang hebat semata-mata bagi memantapkan pasukannya.

“Saya tidak rasa kami memerlukan 10 pemain baharu untuk mempertahankan kejuaraan. Pemain yang ada sudah cukup baik.

“Apa yang kami perlu lakukan ialah memperbaiki kelemahan di beberapa posisi. Walaupun nampak sukar tetapi ia merupakan perkara utama untuk memastikan kami beraksi dengan baik.

“Mungkin dengan menggantikan beberapa pemain baharu ia sudah cukup untuk memperbaiki kelemahan tersebut,” kata Mancini.

Mancini berkata, jentera serangan City yang diketuai dua pemain Argentina, Carlos Tévez dan Sergio Agüero sudah cukup untuk menggegarkan kubu pertahanan pasukan lawan.

Berbeza dengan City yang mahu mempertahankan trofi Liga Perdana England, Chelsea pula bertekad untuk memastikan gelaran berprestij di England menjadi milik selepas kali terakhir memenanginya pada musim 2009/2010.

Skuad The Blues menjadikan André Villas-Boas sebagai alasan kegagalan pasukan itu kerana gagal memikat pemain-pemain veteran sebelum dipecat pemilik kelab, Roman Abramovich.

Namun, di bawah bimbingan Di Matteo, Chelsea tidak hanya memenangi trofi Piala FA tetapi menjuarai kejohanan yang lebih berprestij iaitu Liga Juara-Juara. – Agensi