Chelsea dan City Cemerlang

CHELSEA memadam kekecewaan tewas kepada Manchester City pada aksi Perisai Komuniti baru-baru ini, apabila membuka tirai kempen saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-0 ke atas Wigan Athletics di  Stadium The DW, hari ini.

Keazaman The Blues menebus kekalahan kepada The Citizens terserlah apabila mula menguji benteng pertahanan The Latics seawal minit pertama, namun kecekapan penjaga gol The Latics, Ali Al Habsi menjadi penghalang utama.

Akhirnya gawang anak buah Roberto Martinez bolos juga menerusi jaringan pertahanan Chelsea, Branislav  Ivanovic pada minit kedua hasil serangan mengejut Chelsea selepas menyudahkan hantran pemain tengah dari Belgium, Eden Hazard untuk menewaskan Al Habsi.

Gol itu nyata memberi semangat kepada anak buah Roberto de Matteo yang kemudiaannya terus menggandakan asakan hingga memaksa pertahanan Wigan, Ivan Ramis melakukan kekasaran terhadap Hazard.

Hasilnya Chelsea dianugerahkan sepakan penalti yang kemudiaannya disempurnakan pemain tengah, Frank Lampard pada minit ketujuh untuk memastikan tiga mata penuh milik kelab berpangkalan di Stadium Stamford Brigde memulakan saingan EPL 2012/2013 dengan kemenangan pertama musim ini.

Sementara itu Manchester City menewaskan Southampton dengan kemenangan tipis 3-2 dalam perlawanan yang hampir menyaksikan Manchester City hampir dimalukan di laman sendiri.

Gol-gol City dijaringkan oleh 40′ Carlos Tévez, 72′ Edin Dzeko dan 80′ Samir Nasri sementara gol Southampton pula dijaringkan oleh Rickie Lambert 59′ dan Steven Davis 68′.