‘Bukan mudah cari pengganti saya’

“BUKAN senang nak cari pengganti saya meskipun negara mempunyai 28 juta penduduk.”

Itulah reaksi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, 30, ketika ditanya mengenai calon sesuai bagi menggantikannya jika dia membuat keputusan untuk bersara kelak.

Menurut beliau, Malaysia berdepan kesukaran mencari penggantinya dan sesiapa yang dipilih nanti bukan sahaja perlu memberikan komitmen tinggi tetapi ditagih pengorbanan besar dari- pada semua pihak.

“Ramai yang bertanya mengenai isu ini dan bukan senang nak cari pengganti Chong Wei. Masalah sama turut dihadapi China untuk mencari pemain yang bakal menggantikan jaguh badminton mereka, Lin Dan.

“Indonesia juga sehingga kini masih sukar menemui pemain setanding Taufik Hidayat termasuk Denmark masih belum menemui pengganti Peter Gade,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sesi bertemu peminat di Kolej KDU, George Town, Pulau Pinang semalam.

Dalam pada itu, bekas pemain nombor satu dunia ini tetap yakin negara dapat melahirkan ramai jaguh perseorangan bagi menggantikan dirinya sekiranya banyak pendedahan serta peluang diberikan kepada pemain muda.

Antaranya seperti Liew Daren, Muhammad Arif Abdul Latif, Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Misbun Ramdan Misbun, Loh Wei Sheng dan Chong Wei Feng.

“Saya tahu ramai yang bertanya mana calon yang lebih layak dan pasti dengan usaha BAM (Persatuan Badminton Malaysia) proses pencariannya akan dilakukan secepat mungkin.

“Antaranya dengan memberi banyak pendedahan kepada pemain muda ini dengan pelbagai kejohanan, sekali gus dapat menimba banyak pengalaman,” jelas Chong Wei yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.

Dia juga muncul sebagai atlet negara yang menyumbangkan dua pingat perak pada dua temasya Olimpik berturut-turut.

Mengulas mengenai perancangan mendirikan rumah tangga dengan teman wanitnya, Wong Mew Choo, Chong Wei berkata, mereka hanya menanti masa yang sesuai untuk berkahwin.