“Bangkit atau lupakan Misi 33”

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti menggesa pasukannya untuk segera bangkit demi merangkul kejuaraan Piala Malaysia yang ke-33.

Selangor hanya berjaya mengutip dua mata selepas dua perlawanan peringkat kumpulan, Piala Malaysia setakat ini dan Irfan Bakti akui mereka mesti menang baki empat perlawanan untuk mara ke suku-akhir.

Beliau turut menggesa pasukannya untuk segera bangkit dan meningkatkan prestasi persembahan atau melupakan sahaja ‘Misi 33’.

“Tiada lagi mata boleh tercicir, saya mahu pemain-pemain sedar keadaan ini.

Bagaimanapun, saya tetap yakin kami mampu melakukannya seperti mana ketika saya membimbing Terengganu dua musim lalu,” kata Irfan Bakti.

Safiq Rahim dan Bosko Balaban telah menjaringkan gol pada perlawanan dengan Pahang Sabtu lepas.
“Kita melepaskan dua gol mudah dan mujur berjaya bangkit untuk memperolehi satu mata.

“Saya salahkan pertahanan kerana gol pertama manakala gol yang kedua berpunca daripada kesilapan bahagian tengah,” kata Irfan lagi.