Amri, Bunyamin digantung dan didenda

Kapten Selangor, Amri Yahyah dan Bunyamin Umar telah digantung sebanyak tiga perlawanan dan denda RM1,500 oleh Jawatankuasa Disiplin FAM hari ini.

Kedua-dua pemain tersebut telah dibicarakan atas kes mengasari Mohammad Ghaddar dalam perlawanan Liga Super antara Selangor dan Kelantan pada 29 Jun lepas.

Amri Yahyah telah dituduh menumbuk bahagian sulit Ghaddar dan Bunyamin dikatakan telah menumbuk Ghaddar di muka.

Dalam perbicaraan hari ini, Jawatankuasa Disiplin FAM telah mendapati bahawa Amri dan Bunyamin bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung tiga perlawanan Piala Malaysia dan denda sebanyak RM1500.
Walaubagaimanapun, Bunyamin tidak hadir ke perbicaraan tersebut kerana kini bersama skuad kebangsaan menjalani latihan di Austria.

Amri sebelum ini berkata: “Bola sepak adalah sukan yang penuh emosi dan banyak perkara boleh berlaku. Digantung tiga perlawanan mungkin memberi kesan kepada Selangor dalam saingan Piala Malaysia.”

Amri Yahyah dan Bunyamin tidak akan beraksi dalam tiga perlawanan pertama Piala Malaysia yang akan bermula 22 Ogos ini.

Kes Mohammad Ghaddar pula akan dibicarakan pada 10 Ogos ini.