13 Tahun Koma Masih Belum Sedar

BACHOK: “Bangunlah Along, emak teringin beraya dengan Along,” rintih seorang ibu, Maziah Jusoh, 48, yang terus menaruh harapan supaya anaknya yang terlantar koma akibat dirempuh kereta 13 tahun lalu, kembali sedar untuk menyambut Aidilfitri.

Siti Suzaini Jailani yang kini berusia 20 tahun, koma selepas ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat mengaji al-Quran ketika berusia tujuh tahun.

Sejak kejadian itu, zaman kanak-kanak Siti Suzaini atau lebih mesra dengan panggilan Along terus hilang kerana tubuhnya tidak lagi dapat bergerak dan hanya terlantar di tempat tidur.

Maziah berkata, Along hanya menggerakkan mata memerhatikan ahli keluarganya dan setiap kali tiba 1 Syawal sejak 13 tahun lalu, dia sebak melihat nasib anak sulungnya itu.

Menurutnya, sebelum kemalangan menimpanya, Along amat ceria pada Aidilfitri terutama apabila menjamah sate ayam dengan kuah kacang serta air laici kegemarannya.