Zamil Mahu Dedah Video “Tikam Belakang” Anwar

Antarapos – Bekas ahli PKR Zamil Ibrahim akan mendedahkan rakaman percakapan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa bersikap “tikam belakang”.

Beliau seterusnya mencabar Anwar untuk mengakui dakwaan bahawa pernah memaki hamun pemimpin komponen Pakatan Rakyat (PR) ketika berucap dalam ‘Mesyuarat Tertutup Anwar bersama PKR Zon Utara’ di Bukit Mertajam.

“Saya nak cabar Anwar untuk sahkan, 9 Januari 2008 bahawa anda (Anwar) pernah memaki PAS. Anda pernah hentam DAP dengan pelbagai macam percakapan ketika itu anda berada dalam PR, bukan lagi Barisan Nasional,” kata Zamil pada sidang media sebentar tadi.

Menurutnya rakaman video 5 minit 20 saat itu dirakam ketika Anwar bercakap di Yayasan Aman Penanti.
Pendedahan tersebut kata Zamil adalah untuk memberi gambaran wajah sebenar Ketua Pembangkang serta kerapuhan kritikal yang sedang berlaku dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Beliau walau bagaimanapun berkata akan mendedahkan rakaman video tersebut dalam masa terdekat.