Wenger Puji Harimau Malaya

REAKSI kecewa skuad Harimau Malaya selepas tewas 1-2 kepada Arsenal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

BIARPUN tewas 1-2, penampilan skuad Harimau Malaya ketika melayan kunjungan Arsenal malam kelmarin tetap mampu menambat hati pengurus The Gunners, Arsene Wenger.

Secara terbuka, Wenger mengakui yang barisan kendalian Datuk K. Raja- gobal telah berjaya menampilkan rentak permainan yang tinggi pada aksi persahabatan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Keputusan perlawanan tidak begitu penting tetapi apa yang lebih penting, kualiti perlawanan yang kami mahukan.

“Aksi pada babak pertama cukup mengagumkan kerana kedua-dua pasukan menampilkan tempo yang tinggi. Kami terpaksa bekerja keras menentang pasukan yang baik.

“Secara keseluruhannya, ia suatu perlawanan yang baik dan kami pulang tanpa ada sebarang masalah kecederaan (pemain),” jelas Wenger pada sidang media selepas tamat perlawanan kelmarin.

Namun, sesuatu yang menjadi detik paling istimewa buat bebe- rapa pemain Harimau Malaya apabila kelibat mereka mendapat pujian Wenger.

“Saya kagum dengan prestasi yang ditonjolkan pemain berjersi No. 8 (Safiq Rahim), No. 15 (Gary Steven Robbat), No. 16 (S. Kunanlan) dan penjaga gol (Farizal Marlias).

“Mungkin saya akan mendapatkan beberapa pemain Malaysia berdasarkan persembahan cemerlang mereka malam ini (malam kelma- rin),” ujarnya berseloroh.

Sementara itu, Rajagobal berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan penampi- lan barisan Harimau Malaya sepanjang 90 minit perlawanan tersebut berlangsung.

“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan persembahan barisan pemain saya kerana begitu berdisiplin dan mengikut setiap arahan.

“Namun, sudah tentu saya berasa kecewa selepas kami gagal untuk mempertahankan kelebihan satu gol kami,” jelas Rajagobal.

Pada aksi kelmarin, Harimau Malaya berjaya mengejutkan Arsenal pada masa kecederaan babak pertama apabila memperoleh gol menerusi rembatan kencang Mohd. Azmi Muslim dari jarak 25 meter.

Bagaimanapun, Arsenal bangkit memperoleh dua gol pada penghujung babak kedua hasil jaringan Thomas Eisfeld dan Chuks Aneke.

“Saya telah berjanji kepada Wenger yang mana kami akan memberikan tentang habis-habisan dan saya gembira kerana barisan pemain saya berjaya melakukan tugasan itu,” katanya.

Pada Isnin ini, skuad Harimau Malaya bakal menentang sebuah lagi kelab gergasi England, Manchester City di stadium yang sama.