Walcott hormat aksi Harimau

Sekalipun mudah mencatatkan kemenangan 4-0 pada perlawanan tahun lalu namun bintang Arsenal, Theo Walcott tetap berwaspada dengan ancaman skuad negara menjelang aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Walcott menyifatkan Harimau Malaya sebuah pasukan yang berbeza berbanding pasukan yang pernah ditewaskan Arsenal tahun lalu.

“Malaysia bukan pasukan yang sama seperti tahun lalu. Corak permainannya semakin meningkat malah saya lihat Malaysia memiliki pemain yang cukup baik terutama dari segi kepantasan.

“Dengan prestasi sekarang, mereka mampu pergi lebih jauh tetapi apa yang penting semua pemain mesti saling mempercayai antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11, Shah Alam, semalam.

Pemain tengah kelab itu, Mikel Arteta, berkata mereka sudah tidak sabar untuk turun bertemu skuad Malaysia di stadium yang mempunyai kapasiti 87,411 kerusi itu.

“Ya… saya sudah bersedia untuk turun esok (malam ini),” katanya yang ditemui pada sesi Klinik Kejurulatihan Bola Sepak Kanak-kanak Emirates di Hotel Saujana, Subang, semalam.

Rekod empat kali pertemuan dengan Arsenal menyaksikan Malaysia hanya menang sekali iaitu pada 11 Mei 1975 dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Mokhtar Dahari.
Pada pertemuan dua hari selepas itu, Malaysia diikat seri 1-1 sebelum dibelasah 0-2 pada Mei 1999 dan tewas sekali lagi pada Julai 2011 dengan keputusan 0-4.

Sementara itu, kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim meminta rakan sepasukan jangan mengungkit rekod pertemuan lalu dengan Arsenal tetapi fokus.
Itulah pesanan Safiq menjelang pertembungan dengan pasukan itu malam ini.

“Kami menjanjikan yang terbaik malam esok (malam ini). Jangan ambil kira keputusan perlawanan lalu kerana kami ada misi tersendiri.

“Tidak kira siapa lawan kami, semua pemain pasti mahu melakukan yang terbaik. Apa yang kami mahu tekankan adalah untuk meningkatkan prestasi pasukan buat menghadapi Piala AFF nanti,” katanya, selepas sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), malam tadi.