Tingkatan 6 akan dinaiktaraf

YOGYAKARTA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara langkah yang akan diambil adalah memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk tingkatan enam.

“Kami sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, kategori yang lain sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa),” katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak kelmarin kerana menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengannya yang berakhir semalam.