Tevez Ketuai Misi Robek Kubu Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City bakal tampil dengan pemain bintang antaranya Carlos Tevez, Sergio Aguero, Kolo Toure, Yaya Toure dan kapten, Vincent Kompany ketika berdepan skuad kebangsaan pada aksi persahabatan jelajah pra-musim di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Isnin ini.

Kehadiran pertama kali City ke Kuala Lumpur itu turut disertai pemain sayap England, Adam Johnson; pakar sepakan percuma, Alexsandar Kolarov dan pemain pertahanan serba boleh, Pablo Zabaleta.

Namun, kelibat beberapa bintang lain seperti Edin Dzeko, Gareth Barry, Samir Nasri, David Silva, Joe Hart, Nigel de Jong dan Mario Balotelli tiada dalam senarai 21 pemain City yang dikeluarkan ProEvents Group, selaku penganjur eksklusif siri Jelajah Asia City 2012, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group, Julian Kam, berkata seluruh rakyat Malaysia bakal menjadi sebahagian sejarah apabila mereka berpeluang menyaksikan perlawanan sulung City di negara ini.

Ini masa paling sesuai untuk City membuat penampilan sulung di Malaysia sebaik mereka dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Dengan nama-nama besar yang menyertai siri jelajah ini, saya yakin perlawanan Isnin nanti bakal menjadi aksi bertaraf dunia, kata Kam, semalam.

Jangan lupa saksikan live streaming di sini