Suami pasangan mangsa kebakaran meninggal dunia

KUANTAN – Mangsa yang melecur teruk dalam kebakaran di sebuah rumah di Pekan semalam, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata Abdul Karim Mohamad, 39, yang dirawat di wad unit rawatan rapi (ICU) di HTAA meninggal akibat melecur teruk di seluruh anggota badan pada 5.09 petang tadi.

“Sekarang proses tuntutan sedang dibuat oleh keluarga untuk pengebumian manakala isterinya Saidah Talib, 35, yang turut mengalami kecederaan akibat melecur seluruh badan masih kritikal dan dirawat di HTAA,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi semalam, anak lelaki pasangan itu, Mohd Amri Abu Bakar, 16, bertindak berani menyelamatkan ibu kandung dan bapa tirinya di dalam bilir tidur mereka yang sedang terbakar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu bertindak menendang pintu bilik ibu bapanya yang sedang terbakar sebelum bertindak menyimbah air dan mengheret kedua-dua orang tuanya keluar dari bilik berkenaan.

Sebelum itu Mohd Amri turut membawa kedua-dua adik perempuannya Nurazalina Abu Bakar, 11, dan Noraini Abu Bakar, 5, yang tidur di ruang tamu, keluar dari rumah berkenaan.- Bernama