Skandal ubat: GlaxoSmithKline didenda RM9 bilion

NEW YORK – GlaxoSmithKline didenda kira-kira RM9 bilion (AS$3 bilion) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam  kerana gagal melaporkan maklumat keselamatan tiga jenis ubat yang sangat popular keluaran syarikat itu.

Daripada AS$3 bilion itu, AS$1 bilion adalah bagi penyelesaian kesalahan jenayah manakala AS$2 bilion lagi sebagai liabiliti sivil – jumlah terbesar dibayar oleh mana-mana syarikat pengeluar ubat di AS.

Laporan media menyebut GlaxoSmithKline akan membuat pengakuan bersalah atas tuduhan memperkenalkan ubat yang tersilap jenama iaitu Paxil, Wellbutrin dan Avandia dalam pasaran antara negeri di AS.

Menurut pihak berkuasa, ubat-ubat itu dipasarkan sebagai bahan rawatan bagi keadaan yang tidak mendapat kelulusan kerajaan.

Timbalan Penguam Negara AS, James Cole dipetik berkata penyelesaian itu sesuatu yang luar biasa “dari segi skop dan saiz.”

Pengeluar ubat-ubatan terbesar itu mengaku mempromosikan Paxil dan Wellbutrin bagi kegunaan-kegunaan yang tidak diluluskan termasuk bagi rawatan ke atas kanak-kanak dan orang dewasa.

Selain itu, syarikat tersebut juga mengaku bersalah berhubung tuduhan menyembunyikan butiran data keselamatan dan membuat dakwaan-dakwaan tidak berasas berkenaan ubat diabetes Avandia.

Malah, syarikat itu juga didakwa membuat bayaran kepada doctor untuk mempromosi dan menggunakan ketiga-tiga ubat berkenaan.