Siapa Layak ke Playoff dan Piala Malaysia?

Kelantan menjulang trofi Liga Super dengan penuh bergaya selepas menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kekalahan itu cukup pedih buat Sarawak yang kekal di tangga ke-11, sekali gus terpaksa berdepan naib juara Liga Perdana, Pahang pada aksi playoff di Stadium Hang Jebat, Melaka, Selasa ini. Gol-gol Kelantan dijaringkan Badhri Radzi minit ke-61 dan Norfarhan Mohamad (65 & 67) manakala gol tunggal Sarawak dijaringkan Hairol Mokhtar (69).

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah menewaskan Negeri Sembilan 3-1, namun kemenangan itu tidak mengubah kedudukan mereka di tangga ke-13 untuk bertemu pasukan tangga ke-12, Kedah pada aksi playoff di Stadium Hang Tuah, Melaka, Selasa ini.

Gol Sabah dijaringkan Hendrik Helmke (27), Shahrudin Yakub (76) dan Bobby Gonzales (90) manakala gol tunggal pelawat menerusi Jean Emmanuel Effa Owona (41).

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah tewas 1-2 kepada FELDA United menerusi gol Mickael Antoine Curier (29) dan Yong Kuong Yong (36) tetapi dibalas tuan rumah menerusi Khyril Muhymeen Zambri (62).

Di Stadium Ipoh, Perak mengesahkan kedudukan tangga keempat selepas membelasah, Kuala Lumpur 5-2.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu menewaskan pasukan tangga ketiga, Selangor 3-0 hasil jaringan Francis Forkey Doe (8 & 41) dan Ahmad Nordin Alias (48).

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, naib juara, Lions XII tewas 0-1 kepada Johor FC menerusi jaringan tunggal Shahrizal Saad (27).

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, PKNS FC yang bertindak sebagai tuan rumah menewaskan T-Team 2-1, jaringan Azrif Nasrulhaq Badrul (2) dan Fazli Baharudin (19). Gol T-Team oleh Fadzli Saari (58).

Playoff Liga Super

Sabah lwn Sarawak dan Pahang lawan Kedah. Hanya satu pasukan akan layak ke Liga Super 2013. Kuala Lumpur tersingkir ke Liga Perdana 2013.

Pasukan yang layak ke Piala Malaysia

1. Kelantan
2. Lions XII
3. Selangor
4. Perak
5. Terengganu
6. Negeri Sembilan
7. T-Team
8. PKNS
9. Johor FC
10. Felda United
11. Sarawak
12. Kedah
13. ATM
14. Pahang
15. Sime Darby
16. Johor