Selangor Pinjam Rozaimi Untuk Piala Malaysia

Pemain Sabah, Mohd Rozaimi Abdul Rahman akan dipinjamkan kepada Selangor FC untuk saingan Piala Malaysia.

Sabah yang duduk di tempat ke-13 Liga Super dan tidak layak ke Piala Malaysia 2012 akan meminjamkan bintang Harimau Muda B22, Rozaimi Abd Rahman kepada pasukan tempat ketiga Liga, Selangor FC.

Rozaimi yang menjaringkan 10 gol untuk Harimau Muda dalam saingan Kelayakan Piala AFC B22 telah menarik minat banyak pasukan Liga Super dan juga pasukan dari luar negara seperti kelab gergasi Thailand, Tero Sasana.

Pemain berusia 19 tahun itu kini bersama skuad Sabah di Pahang untuk saingan bola sepak SUKMA.

Rozaimi hari ini telah mengesahkan kepada ESPNSTAR.my dan berkata: “Benar saya akan dipinjamkan ke Selangor. Pihak pengurusan Sabah telah memberikan pelepasan kepada saya untuk beraksi di Selangor.

“Pada 1 Ogos ini selepas bersama pasukan Malaysia XI untuk persahabatan dengan Arsenal dan Manchester City, saya akan lapor diri kepada Selangor.”

Setiap pasukan dalam Piala Malaysia dibenarkan untuk meminjam maksima tiga pemain dari pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia.