Saya Menderita Tiada Deria Bau





KUALA LUMPUR: Hidup tanpa deria bau mungkin tidak pernah dibayangkan kerana kes itu jarang berlaku. Namun, bagi seorang ibu dua anak, kehilangan deria bau memaksanya menyesuaikan diri dengan situasi baru yang sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian, apatah lagi dia bekerja sebagai tukang masak.



Mazlen Mahbob, 35, kini bukan saja tidak dapat menghidu bau masakan dipesan pelanggan di restorannya, malah berdepan bahaya kerana gagal mengesan bau asap jika berlaku kebakaran atau kebocoran gas.


“Selama ini apabila memasak, saya anggap lidah paling penting untuk merasa masakan, tapi selepas hilang deria bau, baru saya sedar ia juga tak kurang pentingnya.


“Mungkin kalau bukan tukang masak, saya tak kisah sangat hilang deria bau. Ketika mula-mula berdepan pengalaman ini, saya jadi tak tentu arah, sangat tertekan dan mengalami kemurungan. Adik-beradik pula kurang percaya apabila saya beritahu hilang deria bau,” katanya.





Mazlen hilang deria bau sejak empat bulan lalu selepas terjatuh dan pengsan, mengakibatkan kepalanya mengalami hentakan kuat dan bengkak.


Kejadian berlaku selepas dia yang ada masalah tekanan darah rendah merawat luka di jari tangan anak sulungnya, Iffat Muqri, 11, yang juga kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) akibat terkena tin minyak sapi.


“Ketika itu saya kurang sihat. Selepas memasak di restoran, saya naik ke tingkat atas untuk berehat. Iffat datang kepada saya dengan menunjukkan tangannya yang luka terkena tin minyak sapi. Walaupun ngilu tengok darah, saya bersihkan lukanya, sapu minyak gamat dan bersihkan darah di lantai.


“Tiba-tiba saya jatuh, diserang sawan dan cuma tersedar 15 minit kemudian dengan kepala bengkak. Mujur suami (Aizuddin Abdullah, 39) ada dan dia menghantar saya ke hospital,” katanya.


Mazlen ditahan di wad selama dua hari dan pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami pendarahan di bawah lapisan bawah kulit tengkorak.




“Sewaktu di hospital, keadaan persekitaran yang bersih menyebabkan saya tidak sedar kehilangan deria bau. Apabila dibenarkan keluar wad, saya ke kedai kopi dan memesan kopi dan mufin. Ketika mahu menikmatinya, baru sedar saya tidak dapat menghidu aroma kopi dan mufin.


“Saya beritahu perkara itu kepada suami, tapi dia mengatakan saya baru pulih daripada sakit. Ketika itu saya tak sedap hati dan gelisah kerana tugas saya memasak di restoran. Semua resipi saya yang adun. Jika tidak dapat menghidu, saya sukar mengimbangi rasa masakan.


“Bila hilang nikmat deria bau, baru saya sedar perasaan Iffat sebagai OKU mengharungi kehidupan. Bagaimana situasi dialaminya ketika mahu memberitahu sesuatu sedangkan tidak mampu bercakap, selain pergerakannya terbatas dan berjalan menggunakan bantuan alat sokongan beroda,” katanya.


Selepas pulih, adik Mazlen mengambil alih tugas memasak di restoran. Untuk mengatasi masalah sukar mengimbangi rasa masakan, setiap ramuan perlu ditimbang dan disukat, termasuk garam.


“Adik akan beritahu sama ada bahan yang dimasukkan ke dalam masakan mencukupi atau tidak.


“Hilang deria bau memberi tekanan dan membuatkan saya tak tentu arah. Suami banyak memberi semangat serta meminta saya reda ujian Allah. Kalau hilang anggota badan orang nampak, tetapi hilang deria bau sukar orang hendak percaya.


“Saya pernah terpijak najis kucing dan disebabkan tidak dapat mengesan bau, selamba saya masuk ke restoran. Pelanggan kembang kempis hidung menahan bau busuk. Adik yang ketika itu berada dalam restoran menyedari dan memberitahu saya.


“Saya minta maaf kepada pelanggan sambil memberitahu baru hilang deria bau dan mereka mengangguk faham. Bagaimanapun, jika difikirkan balik, bukan mudah untuk orang percaya apa yang saya katakan kerana kes seperti itu jarang didengar,” katanya.


Mazlen berkata, dia pernah merendam sotong kering yang sepatutnya cuma memakan masa lapan hingga 10 jam tetapi disebabkan terlupa, ia berlarutan selama dua hari.




“Suami mengadu ada bau busuk seperti sampah tapi tak tahu puncanya. Kebetulan bekas merendam tersorok jauh di belakang rak dan terlindung,” katanya.




Masalah itu menyulitkannya kerana tidak dapat mengesan makanan basi selagi ia tidak melekit atau berubah warna, selain mengenal pasti ikan pari yang baik.




“Ini kerana sesetengah ikan pari berbau busuk dan tidak sepatutnya dihidangkan kepada pelanggan. Saya terpaksa meminta bantuan suami atau adik bagi menghidu bahan tertentu.


“Selepas suami menghantar saya menjalani rawatan akupuntur, baru saya dapat mengesan bau sebanyak 10 hingga 20 peratus, tapi bau yang dihidu itu tidak pernah saya kenal sebelum kemalangan itu. Saya sensitif dengan bau minyak dan jika terbau pisang goreng, serta-merta saya berasa mual,” katanya.


Mazlen berkata, sejak hilang deria bau, dia tidak mampu menjamah roti, biskut atau kek kerana makanan itu mempunyai sejenis bau yang kurang menyenangkan baginya.


“Pisang juga ada bau yang sukar untuk saya jelaskan. Baunya sungguh menyengat. Saya yang memang penggemar durian, kini menikmati buah itu tanpa bau.


“Kini saya juga perlu selalu memeriksa lampin dipakai Iffat. Jika tidak, Iffat yang tidak selesa dengan lampin kotor akan pergi sendiri ke bilik air untuk membersihkan najisnya biar pun tidak bersih,” katanya.


Ada hikmah di sebalik kejadian itu. Mazlen kini dapat membezakan kemahiran antara bau, rasa dan penglihatan yang kemudian disatukan dengan pengalamannya sebagai tukang masak. Sejak hilang deria bau, dia turut belajar membuat roti, burger, piza dan karipap sejuk beku.


Aizuddin berkata, mula-mula berdepan keadaan isterinya yang murung, dia turut tertekan. Bagaimanapun, dia sentiasa memberi semangat untuk isterinya melalui kehidupan. “Saya sedar ada tanggungjawab baru perlu dipikul. Jika dulu urusan memasak di restoran semua diserahkan kepada isteri, kini saya perlu menjadi hidung dan lidahnya untuk menghidu dan merasa masakan disediakan,” katanya. Menurutnya, pada mulanya dia tidak ambil seriusdan menganggap ia berlaku kesan Mazlen terjatuh.


“Isteri saya cerewet mengenai rasa masakan. Sebelum hilang deria bau, jika kami makan di luar, dia tinggalkan saja makanan dipesan jika rasanya kurang sedap.


“Kini saya perlu merasa terlebih dulu makanan dipesan. Kalau saya kata sedap, walaupun kurang sedap, dia makan saja kerana tidak dapat mengenal rasa makanan yang dimakan,” katanya.