‘Sabar duhai hati’, status terakhir BB Syaleza

PETALING JAYA – “Sabar duhai hati”, adalah status BlackBerry (BB) terakhir yang sempat dicatat seorang Eksekutif Pentadbiran sebuah stesen televisyen swasta TV9, Syaleza Jaffar, 31, sebelum ditemui mati dalam bilik di kediamannya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, dekat sini, kelmarin.

Kejadian disedari setelah suaminya terdengar bunyi dentuman kuat, lalu bertindak pecahkan pintu bilik selepas  panggilannya tidak terjawab.

Menurut sumber, pasangan itu bertengkar kira-kira jam 7 malam, menyebabkan mangsa merajuk dan mengunci dirinya di dalam bilik.

“Suami mangsa menghubungi ambulans yang tiba jam 10.30 malam. Pemeriksaan lanjut mendapati dia telah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan jiran mangsa juga terdengar bunyi pertengkaran beberapa jam sebelum kejadian. Ia berkemungkinan berpunca daripada suami mangsa pulang lewat dari kerja luar kawasan.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun dan menyewa di situ sejak tiga bulan lalu.

Mayat ditemui oleh suaminya di dalam bilik tersebut ketika beliau memanggilnya untuk bersiap-siap menjelang waktu berbuka puasa pada pukul 7 petang.

Difahamkan, suami mangsa, Norazman Bashah, 30-an, hanya memberitahu mengenai kematian isterinya kepada abang mangsa pada pukul 9.30 malam.

Ketika kejadian, anak lelaki pasangan tersebut yang berusia dua tahun turut berada di dalam rumah.

Suami mangsa yang bekerja di syarikat petroleum di ibu kota, buat laporan dan memberi keterangan kepada polis.

Mayat Syaleza dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu.

“Pada mulanya kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, selepas bedah siasat, doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh dan kesan jerut pada leher wanita tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.