Sabah Sahkan Tawaran BEC Tero Sasana Kepada Rozaimi

Masih ingatkah artikel ini yang disiarkan dahulu?

SELEPAS kejayaan Muhammad Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak bersama kelab Portugal, SC Beira-Mar, kini tumpuan mula dialihkan kepada kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana yang telah mengemukakan tawaran rasmi kepada pemain muda Sabah, Rozaimi Abd. Rahman.

Penyerang Harimau Muda berusia 19 tahun itu muncul penjaring terbanyak selepas meledak 10 gol pada aksi kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar, telah berjaya menarik perhatian naib juara Liga Juara-Juara Asia 2002 itu.

Menurut satu sumber yang telah menerima surat tawaran rasmi daripada kelab Thailand pada 26 Jun lalu, mengesahkan Rozaimi akan ditawarkan kontrak tetap selepas menjalani ujian percubaan selama sebulan.

“Kami telah menerima surat tawaran rasmi daripada BEC Tero Sasana yang begitu tertarik dengan persembahan cemerlang pemain terbabit pada aksi kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun baru-baru ini.

“Malah, mereka akan menanggung semua kos dan elaun sepanjang Rozaimi menjalani ujian percubaan bersama kelab tersebut.

“Pada tanggapan saya, ujian pemilihan itu merupakan sebagai prosedur yang mana ia hanyalah satu proses biasa memandangkan secara dasarnya kelab itu memang berhasrat untuk mendapatkan khidmat Rozaimi secara tetap.

“Ia merupakan peluang yang terbaik buat Rozaimi kerana jarang pemain negara ditawarkan beraksi di Thailand. Meskipun hanya di Thailand tetapi kita mengetahui mutu liga mereka berada di tahap yang lebih baik berbanding Malaysia.

“Malah, BEC Tero Sasana merupakan kelab yang profesional serta memiliki reputasi baik di Thailand,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, beliau telah menghantar salinan surat tawaran tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membantu menguruskan rundingan dengan majikan Rozaimi, Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa).

“Kami telah menghubungi pihak FAM pada Jumaat lalu untuk meminta bantuan bagi menjalankan rundingan dengan Safa.

“Kebetulan ketika itu, Rozaimi sedang bersama skuad negara namun sehingga kini kami masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak FAM.

“Bagi pihak BEC Tero Sasana, kalau boleh mereka mahu Rozaimi menjalani ujian itu secepat mungkin,” katanya.

Rozaimi yang disenaraikan oleh jurulatih, Ong Kim Swee, tampil dengan aksi terbaik di Yangon termasuk meledak empat empat gol ketika Malaysia menewaskan Filipina 7-0 dan dua gol ketika menewaskan Taiwan 4-2.

Pemain kelahiran Bongawan, Sabah itu kembali mengulangi sentuhan cemerlang apabila meledak hatrik untuk menumpaskan Vietnam 3-0.

Begitupun, Rozaimi gagal membantu Malaysia meraih slot ke pusingan akhir biarpun menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti ketika tumpas 1-2 di tangan Myanmar.

Terdahulu, Rozaimi yang mempamerkan peningkatan prestasi dikatakan bakal mengikut jejak langkah rakan sepasukan ke Portugal, Nazmi.

BEC Tero Sasana kelab yang dibimbing jurulatih dari England, Andrew Ord kini menduduki tangga ketiga Liga Thailand.