Rozaimi dalam dilema

BIARPUN merasa teruja dengan tawaran kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana, penyerang muda negara yang semakin mengukir nama, Rozaimi Abd. Rahman dihimpit dilema untuk beraksi dalam liga negara Gajah Putih itu.

Kebimbangan tersebut hadir selepas dia difahamkan oleh beberapa pemain berpengalaman negara terhadap ketelusan kempen liga Thailand itu sendiri.

Rozaimi berkata, ia susulan timbulnya desas-desus mengenai kualiti permainan di sana yang lebih terarah kepada aktiviti menjual perlawanan.

“Memang saya akui amat bersemangat dengan tawaran tersebut lebih-lebih lagi dapat menimba pengalaman baharu.

“Lagipun Thailand adalah antara pasukan yang terkuat di rantau Asia Tenggara.

“Pada masa sama, saya juga takut sekiranya pemergian saya ke kelab itu tidak mampu memberikan kepuasan akibat aktiviti menjual permainan,” katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, dia juga turut dinasihatkan agar mempertimbangkan sewajarnya keputusan seandainya ingin bermain dalam Liga Thailand.

Bagaimanapun, Rozaimi tetap optimis ingin menyahut terlebih dahulu pelawaan tersebut kerana ia dilihat sebagai medan utama dalam menguji kemampuan dan kemahiran yang ada padanya.

Mengulas lanjut, Rozaimi menjelaskan dia dimaklumkan mengenai tawaran tersebut oleh jurulatih Ong Kim Swee sendiri semasa perlawanan dengan Vietnam pada kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar sebelum ini.

“Apa pun, sehingga sekarang saya masih belum menerima sebarang hitam putih berkaitan tawaran tersebut,” katanya yang turut menerima tawaran daripada negeri Sarawak.

Terdahulu, penyerang muda kelahiran Bongawan, Sabah ini berjaya mempamerkan aksi mengagumkan dan muncul penjaring terbanyak selepas meledak 10 gol pada kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar.

Sementara itu, Rozaimi terus mempamerkan kehebatannya apabila berjaya menjaringkan gol untuk Sabah setelah mengelecek dua pemain pertahanan dan penjaga gol Terengganu pada aksi berkesudahan Sabahawks tewas 1-3 kepada pasukan Penyu kelmarin.