Rajagopal mahu lihat peningkatan

Jurulatih Malaysia K. Rajagopal menjangkakan persembahan yang lebih baik daripada pasukannya apabila mereka menentang Arsenal malam ini.

Harimau Malaya akan menentang pasukan Liga Perdana Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil di perlawanan pertama pasukan Gunners di jelajah pra-musim mereka ke Asia.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh dua tahun Arsenal telah ke Malaysia dan musim panas lalu, mereka menewaskan pasukan tuan rumah 4-0 di stadium yang sama melalui jaringan-jaringan Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Thomas Rosicky.

Walaupun Rajagopal menjangkakan perlawanan yang sukar malam ini, beliau mahu pasukannya memberikan persembahan yang lebih baik daripada tahun lepas menjelang Piala AFF Suzuki di hujung tahun ini.

“Saya mahu para pemain memberikan persembahan yang lebih baik daripada tahun lepas,” beliau berkata.

“Kami perlu menunjukkan peningkatan kerana kami tidak berikan persembahan yang baik tahun lepas dan kami mahu lihat lebih banyak yang positif daripada yang negatif.

“Tidak selalu kami dapat bermain perlawanan seperti ini, menentang salah satu pasukan paling hebat di Liga Perdana.

“Para pemain kami harus mengambil peluang ini kerana tidak selalu anda dapat lihat pemain-pemain terhebat di dunia dan bermain menentang mereka.

“Arsenal mempunyai beberapa pemain terhebat di dunia dan ini adalah persediaan yang baik sebelum Piala AFF Suzuki di bulan November.”

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima kritikan kerana mengatur persahabatan seperti ini menentang Arsenal dan Manchester City, dengan sesetengah orang mengatakan ia tidak akan membantu meningkatkan kedudukan mereka di kedudukan dunia FIFA.

Tetapi Rajagopal menegaskan beliau tidak begitu bimbang dengan kedudukan dunia Malaysia.

“Saya tidak begitu kesah dengan kedudukan dunia FIFA,” beliau berkata. “Anda lihat kepada Brazil – mereka nombor 11 di dunia tetap hanya berikan tumpuan untuk Piala Dunia 2014.

“Kedudukan dunia tidak begitu penting. Sebagai jurulatih, saya mahu lihat jika pasukan saya telah meningkat sejak empat atau lima tahun yang lalu dan jika kami sedang bergerak ke arah yang betul.

“Saya boleh mencapai itu menentang pasukan seperti Arsenal, yang mempunyai pemain-pemain dari merata dunia.”

Selepas perlawanan dengan Arsenal, Malaysia akan menentang juara Liga Perdana Manchester City pada 30 Julai.