Rajagopal: “Kami bermain dengan baik”

Jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagopal berkata beliau gembira dengan persembahan pasukannya walaupun kalah 3-1 kepada Manchester City malam semalam.

Rajagaopal mengakui para pemain beliau gagal untuk menangani kelajuan dan intensiti pemain-pemain City.
“Saya menjangkakan perlawanan yang lebih sukar menentang City. Kami bermula dengan baik dan cuba untuk membuat serangan balas tetapi agak sukar,” beliau berkata.

“Permainan fizikal dan intensiti para pemain mereka seperti Sergio Aguero, Carlos Tevez dan Yaya Toure terlalu hebat untuk kami.

“Dua jaringan mereka di awal separuh masa kedua menjejas harapan kami untuk bangkit.”

“Tetapi kami berjaya menjaringkan gol lewat dalam perlawanan dan itu telah memberangsangkan kami dan kami hampir menjaringkan gol kedua selepas itu. Saya rasa pasukan saya bermain dengan baik walaupun kami kalah.” – espnstar.my