Penyokong Kedah Mahu Jumpa KFA

KELAB Penyokong Hijau Kuning (HKC) menyasarkan untuk mengadakan dialog bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum pasukan Kedah terlibat dengan perlawanan Piala Malaysia yang dijadualkan diadakan sebelum sambutan hari raya, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Presiden  HKC, Shahar Saad berkata, kesudian KFA melalui Pengurus pasukan, Datuk Khazali Din yang menyambut baik hasrat pihaknya untuk mengadakan dialog diharap dapat membantu meningkatkan kembali keupayaan Hjau Kuning selepas ini.

Katanya, surat rasmi permohonan dialog berkenaan dalam draf terakhir sebelum dihantar kepada KFA.

“HKC menyambut baik kesudian Khazali dan berharap dialog yang dirancang ini bakal diadakan di dalam masa terdekat ini dan paling tidak sebelum saingan Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas kenyataan Khazali kelmarin yang bersedia mengadakan dialog.

Dalam pada itu juga, Shahar juga turut mengalu-alukan kehadiran semua kelab penyokong yang lain di dalam memberikan pendapat dan idea bernas untuk dicadangkan kepada KFA bagi memantapkan lagi skuad Hijau Kuning pada musim depan.

Terdahulu, HKC menuntut mahu mengadakan dialog bersama KFA berikutan kekecewaan peminat setia negeri jelapang padi itu selepas pasukan Kedah kembali terjerumus ke saingan Liga Perdana musim depan.