Pemandu bas sambut kanak-kanak tujuh tahun jatuh dari tingkat tiga

BROOKLYN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terselamat hasil tindakan pantas seorang jiran.

Keyla McCree merangkak keluar dari tingkap rumahnya dan menari sambil menyanyi di atas penghawa dingin sebelum dia jatuh dari bangunan di Coney Island.

Bagaimanapun, pemandu bas, Steve St Bernard, 52, yang menanti di bawah dengan menadah tangan, berjaya menyambut dan menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Saya tidak putus-putus berdoa supaya dapat menyambutnya. Saya berada betul-betul di bawahnya,” kata lelaki itu. Saksi memberitahu polis, kanak-kanak autistik itu menolak penutup penghawa dingin apartmennya.

Dia merangkak keluar menerusi ruang kosong sekitar jam 2 petang, memeranjatkan orang ramai dengan menyanyi dan menari di luar tingkat tiga bangunan itu.

Rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu berdiri sebelah kaki dan bergerak pada tepi penghawa dingin berkenaan dengan puluhan orang menanti di bawahnya.

St Bernard yang baru saja habis kerja berkata, dia mendengar jeritan orang ramai dan bergegas ke tempat kejadian.

“Saya melihat seorang kanak-kanak perempuan berdiri di atas penghawa dingin. Saya berkata dalam hati: ‘Biar saya menyelamatkannya dan saya tiba tepat pada masa untuk menyambutnya apabila dia terjatuh.’” Dalam rakaman video selama seminit itu, St Bernard kelihatan berusaha mencari kedudukan yang tepat di bawah kanak-kanak itu. “Saya bukan wira. Sesiapa saja akan melakukannya,” kata lelaki itu.

Bapa empat anak itu berkata, seorang anaknya berusia sama dengan kanak-kanak berkenaan. Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit, Saleema McCree berkata, anaknya selamat.

“Langsung tidak ada calar padanya. Lelaki itu berjaya menyambutnya. Ia satu keajaiban,” kata wanita itu. – DM

Lihat rakaman video di bawah (klik pada video)