OKS: Lupakan isu Myanmar

Ong Kim Swee menggesa para penyokong Harimau Muda untuk melupakan isu Myanmar dan fokus pada masa hadapan terutamanya Sukan SEA.

Pelbagai kontroversi telah melanda Kelayakan Kumpulan G Piala Asia Bawah 22 di Yangon, Myanmar baru-baru ini yang telah melibatkan pasukan Myanmar yang menurunkan pemain lebih umur.

Selepas protes awal dibuat pasukan Malaysia B22 di Yangon, FAM dikehendaki mengantar susulan protes rasmi kepada AFC agar siasatan boleh dijalankan.

Namun, FAM mengumumkan mereka tidak akan membuat bantahan rasmi atas alasan tiada bukti kukuh untuk melakukan sedemikian.

Kegagalan FAM membuat bantahan telah menyebabkan kemarahan para penyokong dan pada Kongres FAM Sabtu lepas, sekumpulan penyokong Harimau Malaya telah menghantar petisyen menggesa Presiden FAM untuk letak jawatan.

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee semalam memberitahu ESPNSTAR.my: “FAM sudah membuat keputusan mereka. Semua orang terluka tetapi kita harus menuju ke hadapan dan lupakan isu Myanmar ini.

“Meminta Presiden FAM meletak jawatan bukan jalan penyelesaiannya. Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah fokus pada perlawanan yang akan datang terutama sekali untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA.”

Pada tahun depan, pasukan Harimau Muda B22 akan sekali lagi berangkat ke Yangon dalam misi mempertahankan emas Sukan SEA yang dijuarai di Indonesia sebelum ini.

“Jika kita berjaya pertahankan pingat emas itu, itu adalah pencapaian yang terbaik. Pemain akan lebih bermotivasi dan ini semua untuk penyokong yang sentiasa di belakang kami.” kata Ong Kim Swee lagi.

Pasukan Harimau Muda kini sudah mula latihan selepas pulang dari Yangon. Mereka akan ke Singapura minggu ini untuk saingan Liga Singapura dan kemudian ke Jakarta untuk Java Cup 2012. – espnstar.my