Neymar intai emas Olimpik

NAMA Neymar begitu hangat di kalangan media dalam tempoh dua tahun ini hinggakan dia dilihat bagaikan sudah lama menyertai sukan itu.

Sebagai bintang untuk kelabnya, Santos dan negaranya, Sepanyol pada usia baru 20 tahun, ia satu pencapaian yang cukup membanggakan menjelang perjuangan berikutnya ke Sukan Olimpik London.

SOALAN (S): Adakah anda masih ingat pernah menonton Sukan Olimpik ketika masih kecil? Adakah Sukan Olimpik London 2012 menjadi objektif sepanjang karier anda?

NEYMAR (N): Saya masih ingat dan ia bukan sekadar perlawanan bola sepak.
Adalah menjadi impian saya untuk bermain bukan saja di Piala Dunia tetapi juga di Olimpik kerana anda akan bersama atlet lain di Perkampungan Olimpik.

Anda mahu mengambil bahagian, membabitkan diri dalam temasya sukan itu dan mahu membawa pulang pingat emas buat kali pertama. Apabila anda terbabit dalam acara global terbesar seperti itu, anda akan rasa sungguh bermotivasi.

S: Pastinya menyeronokkan bagi anda sebagai seorang pemain bola sepak untuk bergaul dengan atlet daripada sukan lain?

N: Ya, anda boleh melihat Lebron James dan Usain Bolt. Saya sudah pun memberitahu rakan saya bahawa saya akan menjadi peminat nombor satu di sana dan akan mengambil gambar sepanjang masa. Saya akan bertemu atlet seperti Bolt dan James dan saya akan meminta untuk bergambar dengan mereka dan juga autograf.

Saya tidak tahu apa yang akan diperkatakan tetapi saya akan meminta mereka melakukannya (ketawa).

S: Adakah anda fikir Brazil mempunyai peluang cerah untuk memenangi pingat emas atau lebih baik daripada sebelumnya?

N: Kami memiliki apa yang diperlukan untuk menjadi juara. Saya fikir Brazil sentiasa menjadi antara pasukan pilihan tidak kira apa saja kejohanan. Kami mempunyai skuad yang hebat dan pemain yang berpotensi.

S: Adakah anda gembira dengan perlawanan pemanas badan dengan Denmark, Amerika Syarikat, Mexico dan Argentina? Adakah ia mendedahkan ruang yang perlu diperbaiki?

N: Kami mempamerkan aksi yang baik biarpun kecewa dengan beberapa keputusan (tewas 0-2 kepada Mexico dan 3-4 kepada Argentina).

Malah kami juga menurunkan skuad Olimpik berdepan pasukan Argentina yang kuat dengan beberapa pemain hebat dan kami hampir menewaskan mereka.

Apa yang perlu kami lakukan ialah menangani beberapa perkara ketika latihan.

S: Anda mengucapkan tahniah kepada Andres Iniesta menerusi Twitter selepas Sepanyol menjuarai Euro 2012. Adakah anda menyaksikan kejohanan itu dan jika ya, apa pandangan anda mengenai standard kejohanan itu?

N: Standard teknikal kejohanan ini begitu tinggi, sama seperti Piala Dunia.
Apa yang hilang adalah pasukan seperti Brazil dan Argentina. Pasukan Sepanyol akan menamatkan kejohanan di tahap seperti itu dan mereka memang pasukan yang terbaik.

S: Banyak desas desus mengenai sama anda akan ke Eropah atau tidak. Apabila anda melihat pasukan seperti itu, adakah anda menganggap tahap mereka lebih tinggi berbanding di Brazil.

N: Ia agak berbeza kerana corak permainan mereka di Eropah agak berbeza. Ia berbeza tetapi anda boleh menyesuaikan diri dengannya dan menggunakannya dalam perlawanan di sini.

S: Siapa lagi pemain lain yang anda kagumi?

N: Saya benar-benar sukakan Iniesta. Saya fikir dia adalah seorang pemain sensasi. Cristiano Ronaldo juga hebat dan saya juga suka menonton aksi Mesut Ozil dari Jerman. Dia adalah seorang pemain yang hebat dan saya memang meminatinya.