Mohamed Hammam bebas larangan Fifa

BEKAS calon pemilihan Presiden Fifa, Mohamed Hammam mahu bersara dari bidang sukan bola sepak meskipun berjaya dalam rayuan berhubung keputusan larangan sepanjang hayat yang dikenakan ke atas dirinya.

Mahkamah Arbitrasi Sukan (Cas) memutuskan bahawa bukti tidak cukup untuk mengenakan larangan sedemikian ke atas Mohamed.

Bagaimanapun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengumumkan bahawa penggantungan ke atas Mohamed masih kekal meskipun mahkamah Switzerland mengetepikan larangan itu.

AFC yang Isnin lalu mengumumkan penggantungan selama 30 hari ke atas Mohamed berhubung dakwaan rasuah terbaru, menegaskan keputusan masih kekal.

Fifa melarang beliau menyertai sebarang bentuk aktiviti berkaitan dengan suka bola sepak sama ada di peringkat nasional ataupun antarabangsa.

“Hasrat saya buat masa sekarang ialah melepaskan jawatan dan bersara,” kata beliau kepada BBC.

Katanya, selepas berkhidmat selama 42 tahun, “tahun ini saya telah melihat wajah sukan dan bola sepak yang paling hodoh.”

“Saya sepatutnya diberikan manfaat keraguan,” katanya.

Mohamed dituduh cuba membeli undi menjelang pemilihan jawatan Presiden Fifa tahun lalu.