Malaysia Bersedia Walaupun Pemain Myanmar Lebih Umur

Malaysia hadapi pasukan tuan rumah, Myanmar, di Thuwunna Stadium pada 3 Julai dalam perlawanan akhir pusingan kelayakan Piala AFC.

Stadium Thuwunna di Yangon, Myanmar, menjadi persada pertembungan terakhir dalam pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 antara Malaysia dan pasukan tuan rumah yang dijangka akan disaksikan lebih 50,000 para penyokong.

Prestasi Malaysia dalam kejuaraan yang dianjurkan untuk kali pertama ini amat menyerlah dan setakat ini, mereka merupakan pasukan yang mempunyai tonggak serangan yang paling efektif dengan 16 jaringan gol, selepas 21 oleh Korea Selatan yang kini menjuarai Kumpulan G.

Tambahan pula, ramai pemain berbakat telah membuktikan anggapan potensi mereka dengan permainan yang mantap dan penuh keyakinan. Rozaimi Abdul Rahman kini merupakan penyerang bawah 22 paling baik di rantau Asia dengan 9 gol dalam hanya 3 perlawanan, walaupun tidak serta perlawanan pembukaan dengan Korea Selatan.

Benteng pertahanan yang mantap dikukuhkan dengan kehadiran Fadhli Shas yang bijak mengarah barisan ofsaid dan Izham Tarmizi pula memegang rekod bersih tanpa bolos untuk dua perlawanan.

Peningkatan tahap bola sepak Myanmar tidak boleh dinafikan dengan beberapa perlawanan baik termasuk keputusan seri tanpa gol dengan Korea Selatan dan kemenangan besar ke atas Filipina. Walaubagaimanapun Persatuan Bolasepak Myanmar (MFF) telah dituduh menggubah umur beberapa pemain bintang termasuk Kyaw Ko Ko dan Kyaw Zayar Win yang telah menyerta sukan SEA lepas.

Dalam wawancara bersama Myanmar Times, U Aung Kyaw Lwin, pengurus Yangon United FC telah berkata: “Saya tidak suka penipuan umur sebegini. Tetapi ini perkara biasa dalam dunia bola sepak Myanmar. Kami memerlukan masa untuk memperbaikinya.”

Pasukan Malaysia pula telah menghadapi beberapa cabaran dari hari pertama lagi dengan beberapa permintaan ditolak MFF termasuk kemudahan kolam renang untuk pemain menjalani sesi pemulihan. Ini telah menyebabkan mereka menguruskan sendiri penyewaan kolam renang di tempat yang lebih jauh. Beberapa aspek lain telah juga menjejas persediaan Harimau Muda hingga jurulatih Ong Kim Swee terpaksa membuat rancangan untuk mencari padang sendiri yang berkualiti demi menjalankan sesi latihan tertutup.

Walaubagaimanapun jurulatih yang telah mendorong perkembangan kumpulan pemain muda ini enggan hilang fokus. “Kami perlu menang dan akan memberi segala-galanya.” katanya dengan tenang dalam perjalanan bersama pasukan ke acara makan malam bersama duta Malaysia di Myanmar.

Keadaan tenang jurulatih mereka jelas menenangkan para pemain yang mempunyai tanggungjawab besar untuk bangsa dan negara. Mereka sempat berlawak jenaka sambil menjamu selera makanan istimewa yang dihidangkan.

“Kami tahu pasukan Harimau Muda ini mengidamkan makanan rumah. Kami ingin menyokong mereka sebaik mungkin dan inilah satu-satunya cara untuk memberangsangkan mereka.” kata duta Malaysia Dato’ Dr Ahmad Faisal Muhamad.

“Walau apa pun yang berlaku, mereka adalah kebanggaan Malaysia.”

Penjaring gol terbanyak dan penyerang yang telah menarik perhatian rantau Asia, Rozaimi Abdul Rahman, memberi gambaran keseluruhan yang terbaik. Walaupun mukanya lebam akibat disiku beberapa pemain Vietnam, beliau mampu bersenyum sambil berkata dengan penuh keyakinan: “Kami akan berusaha sebaik mungkin, seperti biasa.”

Malaysia akan bertemu Myanmar pada hari Selasa, 7.30 malam di Stadium Thuwunna, Yangon.

One Reply to “Malaysia Bersedia Walaupun Pemain Myanmar Lebih Umur”

Comments are closed.