Malaysia B13 Tahun Sasar Ke Final Piala Yamaha ASEAN

PASUKAN pilihan pertama skuad negara, Malaysia Kuning berazam untuk mempamerkan aksi cemerlang bagi menghidupkan peluang beraksi di pentas akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 13 Piala Yamaha ASEAN 2012.

Skuad negara yang tampil selaku tuan rumah kejohanan tiga hari itu yang bakal bermula Jumaat ini, dibenarkan menurunkan dua pasukan iaitu Malaysia Kuning dan Biru.

Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Petaling Jaya itu bakal melibatkan penyertaan lima negara iaitu Vietnam selaku juara edisi pertama pada tahun 2009 diikuti Indonesia (2010), India dan Thailand sebagai juara bertahan.

Jurulatih Malaysia Kuning, Haris Lajid menyifatkan skuadnya sudah bersedia dan beliau yakin barisan pemainnya sudah tidak sabar untuk melakarkan kejutan pada kejoha- nan edisi keempat itu.

“Kami telah bersedia untuk menghadapi cabaran pada kejohanan tersebut dan turun sebagai tuan rumah, kami berazam untuk mempergunakan sepenuhnya kelebihan ini.

“Persediaan serta perancangan pasukan telah bermula sejak Januari lalu dan saya juga telah dimaklumkan bahawa pencapaian skuad negara tidak begitu memberangsangkan pada edisi terdahulu.

“Justeru, sasaran kami adalah sekurang-kurangnya mara ke final dan ia akan menjadi lebih bermakna sekiranya kami bertemu dengan Malaysia Biru pada perlawanan akhir kelak,” kata Haris.

Malaysia Kuning diwakili oleh pemain-pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil.