M Nasir dan MPO bakal bersatu

SEMALAM genap usianya 55 tahun. Masih tegap, segak dan sihat, perjuangan seninya selama 35 tahun juga terus bergerak aktif tanpa mengenal kalah.

Produktif menerbitkan lagu, biar bukan untuk dialunkan suara sendiri, namun karya beliau yang masih berbisa diamanahkan kepada pelapis seni yang berpotensi serta mampu menyempurnakan makna lagu itu dengan baik.

Nyata tokoh muzik kelahiran 4 Julai 1957, Datuk Mohamad Nasir Mohamad atau lebih dikenali M Nasir, memang cukup istimewa.

Terbaru, atas acara bergelar M Nasir with The MPO, beliau akan mengadakan persembahan khas diiringi 100 pemuzik di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 13 & 14 Julai ini, jam 8.30 malam.

M Nasir ketika ditemui berkata, persediaan menjayakan konsert itu dilakukan sejak tahun lalu dengan menyenarai pilihan lagu yang sesuai selain membuat susunan semula untuk disesuaikan dengan persembahan itu.

“Saya memang menantikan saat ini untuk memberikan sebuah konsert kepada peminat dan diiringi satu kumpulan yang besar iaitu orkestra simfoni. Apatah lagi persembahan saya kali ini dalam sebuah dewan yang baik untuk akustik dan cukup sesuai bagi sesiapa yang mahu mengalami pengalaman bunyi yang besar.

“Sebenarnya hasrat mahu membuat persembahan dengan MPO tercetus selepas menyaksikan persembahan Datuk SM Salim, kira-kira 11 tahun lalu. Dari situ, saya juga nampak ada beberapa elemen teknikal serta cara persembahan MPO yang tersendiri dan saya ingin sekali bersatu dengan mereka.

“Saya mahu mempersembahkan sesuatu yang berbeza buat peminat. Sekian lama tidak muncul dalam sebuah persembahan yang besar, saya kira konsert ini mampu membawa karier saya ke satu tahap yang berbeza dari segi ‘bunyi’.

“Kebanyakan penonton belum pernah mengalami pengalaman serta mendengar bunyi yang bakal dipersembahkan nanti,” katanya.

Membariskan lagu hit dan malar segar yang diinterpretasikan MPO, antaranya Kias Fansuri, Sahabat Gua, Apokalips, Juwita, Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Bonda, Kepadamu Kekasih, Sentuhan Listrikmu, Ada, Di Balik Cermin Mimpi, Hati Emas, Keroncong Untuk Ana, Mentera Semerah Padi, Mustika, Raikan Cinta dan Suatu Masa.

Mempunyai ratusan himpunan lagu hit, bagaimanapun rangkaian lagu yang dipersembahkan untuk acara itu mempunyai kuasa tersendiri kepada beliau setiap kali beraksi di pentas.

“Dalam persembahan perlu ada cerita dan biasanya barisan lagu yang dipilih perlu ada kaitan dengan tujuan penganjuran. Misalnya persembahan bersama MPO, ia sebuah pementasan kembara muzik saya selama 35 tahun.

“Jadi, lagu yang akan disampaikan adalah lagu yang memperkenalkan nama saya pada awal kemunculan sehinggalah ke hari ini. Setiap kali membuat persembahan, saya amat teliti dalam menyenaraikan lagu,” katanya.

Konsert pimpinan Konduktor Bersekutu MPO, Kevin Field itu adalah yang ketiga MPO meraikan muzik penyanyi legenda tempatan selepas Tan Sri SM Salim (2001) dan Datuk Sheila Majid (2010).

Ditubuhkan pada 1998, MPO dianggotai 100 pemuzik dan pernah membuat persembahan di Australia, Jepun, Korea, Taiwan, China dan Singapura.

Menyingkap keistimewaan M Nasir, tokoh muzik itu seorang insan seni yang serba boleh; penyanyi, pencipta lagu, penulis, penerbit, pelakon, pengarah filem, penyajak dan pelukis. Beliau menerima pendidikan Diploma Seni Lukis dan GCE ‘O’ Level di Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura.

Sifu, gelaran diberikan penggiat seni kerana kemampuan luar biasa beliau dalam menghasilkan karya yang mampu menaikkan semangat dan merangsang minda masyarakat.

Beliau adalah insan yang bertanggungjawab di sebalik kejayaan Alleycats, Search, Wings, Ella, Ziana Zain, Hattan, Spider dan Mawi.

Beliau dianugerahkan dengan pelbagai penghargaan seperti Anugerah Juara Lagu (1990, 1991, 1993, 1994, 1999, 2000 dan 2012), Festival Filem Malaysia (1984 dan 1990), Anugerah Skrin TV3 (1997), Anugerah Industri Muzik (2001 dan 2002), Anugerah Planet Muzik (2001), selain memenangi kategori Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1994).

M Nasir memulakan karier bersama Kembara dan melahirkan empat album pada awal 1980-an sebelum bergerak secara solo pada 1989 (melalui album Solo). Beliau kemudian menghasilkan tujuh lagi album solo.

Antara konsert beliau yang melakar sejarah adalah Konsert Canggung di Stadium Negara (1994), persembahan akustik Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (1995) dan Konsert Alam Muzik di Istana Budaya (2009).

Beliau dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara pada 1996 dan Darjah Indera Mahkota Pahang pada 2011 yang membawa gelaran Datuk.

Dalam perkembangan lain, M Nasir dalam perancangan untuk mengadakan persembahan istimewa di Singapura tahun hadapan.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert M Nasir with The MPO, tiket dijual dengan harga Premium: RM358, A Reserve: RM258, B Reserve: RM158, C Reserve: RM98.

Tempahan Telefon: 03- 2051 7007 Tempahan faks: 03- 2051 7077.T Tempahan e-mel: dfp_boxoffice@petronas.com.my atau maklumat lanjut boleh layari www.dfp.com.my & www.mpo.com.my