Kuasa Politik Dimiliki Manchester United

LONDON – Penyerang Liverpool, Luiz Suarez mendakwa ‘kuasa politik’ yang dimiliki Manchester United menjadi punca dia digantung musim lalu.

Suarez telah dikenakan penggantungan sebanyak lapan perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas didapati bersalah menghina tonggak pertahanan United, Patrice Evra dengan kata-kata berunsur perkauman, Oktober tahun lalu.

Malah, dia juga turut didenda sebanyak £40,000 (RM197,671) atas kesalahan yang sama.

Penyerang antarabangsa Uruguay itu berkata, sepanjang tempoh penggantungan tersebut, ia telah mengundang trauma buat dia dan seluruh ahli keluarganya.

Malah, Suarez juga percaya hukuman itu adalah disebabkan konspirasi yang dirancang United bagi menjatuhkan Liverpool yang dianggap sebagai musuh utama skuad The Red Devils dalam saingan Liga Perdana England.

“Ia merupakan situasi yang sukar apabila insiden tersebut berlaku ke atas diri saya.

“Saya tidak menunjukkan emosi saya ketika di atas padang sebaliknya saya sering kali menangis mengenangkan nasib yang menimpa saya itu.

“Tempoh penggantungan sangat sukar buat saya. Saya bersama isteri sering kali menangis dalam tempoh tersebut.

“Orang-orang di kelab (Liverpool) percaya ia merupakan salah satu cara United untuk menjatuhkan Liverpool. Mereka tidak mahu saya beraksi bersama Liverpool, sekali gus boleh menghentikan cabaran kelab ini.

“Di England, United sememangnya terkenal dengan kuasa politik mereka dan kamu perlu menghormatinya serta tidak boleh berkata apa-apa,” kata Suarez. – Agensi