Justin Bieber hiburkan 15,000 peminat

PETALING JAYA 14 Julai – Kira-kira 15,000 penonton terhibur menonton persembahan penyanyi terkenal, Justin Bieber sempena MTV World Stage Live In Malaysia 2012 yang diadakan di Surf Beach, Sunway di sini petang ini.

Bieber yang tampil pada pukul 6.35 petang itu memulakan persembahan dengan lagu hit, Baby dengan iringan lapan penari latar.

Pada persembahan yang bakal di siarkan di seluruh dunia menerusi saluran MTV (713) tidak lama lagi, Bieber mendendangkan lapan lagu termasuk medley.

Antara lagu yang disampaikan adalah Around the World, As Long As You Love Me, Die In My Arms, Be Alright, One Time Never Say Never dan Boyfriend.

Jelas Bieber, dia tidak menyangka dapat mengadakan persembahan kali kedua di hadapan peminat Malaysia.

“Saya gembira kerana semua peminat yang datang bukan dari sini sahaja tapi dari negara lain juga,” katanya yang sentiasa cuba memuaskan semua hati penonton, khususnya peminat yang tidak henti menyokong sejak awal penglibatannya dulu.

Dalam pada itu, teman lelaki Selena Gomez itu turut menawarkan diri menjadi ‘kekasih’ kepada para remaja yang hadir sebelum menamatkan persembahannya dengan lagu Boyfriend.

Sementara itu, bintang K-Pop Korea. Kumpulan Kara yang tampil pada pukul 7.40 malam mendendang enam lagu, antaranya Step, Jumping, Luping, Let It Go, Honey Honey dan Mister.

Mizz Nina, satu-satu artis tempatan yang mengadakan persembahan sempena MTV World Stage pada malam itu pula memperdengarkan lagu, antaranya Get It, Take Over dan What You Waiting For.

Penutup persembahan pada malam itu diakhiri dengan kemunculan Jay Park, seorang lagi artis dari Korea. Penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu mendendangkan lagu, antaranya Girlfriend, Star dan Know Your Name.