Jang Jung Ganti Norizan Bakar

Perak telah melantik bekas pertahanan import mereka, Jang Jung yang berasal dari Korea sebagai pengganti Norizan Bakar.

Jang Jung sebelum ini pernah beraksi untuk skuad Seladang pada tahun 1990 dan 1991.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Jang Jung akan memulakan tugasnya mulai 23 Julai depan.

“Saya berharap kehadiran Jang Jung dapat memantapkan Perak selepas Liga Super berakhir,” kata Zainol.
Sebelum ini penolong jurulatih, Chong Yee Fatt telah mengambil alih tugas Norizan yang berehat selepas tewas dengan Kelantan di Kota Bharu.

Yee Fatt bagaimanapun akan terus membantu Jang Jung begitu juga dengan jurulatih Piala Presiden skuad Perak, Abu Bakar Fadzim.

Perak FA mengharapkan pelantikan ini akan memantapkan lagi skuad Seladang dalam saingan Piala Malaysia.

Selain beraksi dengan Perak, Jang Jung telah membimbing Geylang United FC dan Balestier Khalsa dalam Liga Singapura.

Beliau kemudian dilantik sebagai jurulatih skuad Bawah-23 Sri Lanka dan seterusnya menjadi ketua jurulatih skuad Sri Lanka pada 2008 hingga April 2012.