Harimau Malaya Sudah Bersedia

Ketua jurulatih negara Datuk K.Rajagobal yakin anak buahnya mampu memberi saingan sengit bertemu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City FC pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata walaupun misi menumbangkan juara EPL itu dianggap mustahil, skuad Harimau Malaya mampu memberi saingan berdasarkan persembahan baik mereka ketika menentang sebuah lagi kelab EPL, Arsenal pada Selasa lepas.

Katanya penguasaan yang ditunjukkan pemain negara terutama di awal permainan ketika menentang Arsenal walaupun tewas 1-2, membuktikan Harimau Malaya bukan
pasukan belasahan dan mampu memberi tentangan hebat kepada pasukan bertaraf profesional.

“Saya tidak boleh meletakkan harapan luar biasa kepada pasukan Harimau Malaya kerana bukan satu perkara mudah beraksi menentang Manchester City yang merupakan juara EPL musim ini.

“Namun, saya yakin kita mampu mempamerkan aksi menarik dan memberi tentangan yang pastinya tidak akan mengecewakan penyokong setia Harimau Malaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai jurulatih dan pengurus Manchester City FC Roberto Mancini, kapten Manchester City Vincent Kompany serta Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurus pasukan Malaysia Datuk Subahan Kamal.

Ini adalah kunjungan pertama Manchester City ke Malaysia, yang kini dalam siri Jelajah Asia.

Rajagobal berharap semua pemain negara dapat mengekalkan corak persembahan seperti sebelum ini dan berusaha menjaringkan gol walaupun berdepan cabaran sukar.

Beliau berkata pemain Manchester City berbeza kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal, kecerdasan, kelajuan serta momentum yang lebih tinggi berbanding Arsenal.

“Saya harap pemain kita dapat pelajari sesuatu daripada kelebihan pasukan Manchester City bagi memperbaiki kelemahan yang ada sebagai persiapan mempertahankan Piala AFF Suzuki pada November ini,” katanya.

Rajagobal berkata pemain skuad negara semakin matang apabila mereka lebih bermotivasi apabila beraksi dengan pasukan daripada EPL.

“Kita harap motivasi seperti ini terus kekal agar mereka tidak gentar apabila berdepan pasukan lain di peringkat Asia,” katanya.

Beliau juga sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak terlalu takut apabila bermain pasukan hebat sebaliknya menggunakan peluang tersebut untuk lebih menyerlah.

Sementara itu, Mancini berkata Manchester City akan beraksi seperti biasa apabila menentang pasukan Malaysia.

“Kami teruja dalam siri Jelajah Asia kami terutamanya di Malaysia. Saya gembira apabila mengetahui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bola sepak telah menunjukkan peningkatan di negara ini.

“Saya berharap perlawanan yang hebat untuk disajikan kepada peminat di sini pada Isnin ini,” katanya.