Harapan renang Malaysia ke Olimpik berkecai

KUALA LUMPUR – Malaysia buat kali pertama dalam sejarah sejak Olimpik 1968 di Mexico City, tidak mempunyai wakil bertanding pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Sejak penyertaan negara pada Olimpik 1956 Melbourne, perenang-perenang kita tidak pernah kempunan aksi di kolam melainkan Temasya Mexico City, justeru di London penghujung bulan ini akan menjadi kali kedua kontinjen bertandang ke Olimpik tanpa atlet renang.

Senarai lengkap 900 atlet layak telah pun dikeluarkan Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) semalam, dan tiada seorang pun wakil kita.

Malaysia mengharapkan akan ada di antara Siow Yi Ting, Christina Loh, Khoo Cai Lin, Chui Lai Kwan, Yap See Tuan dan Kevin Yeap layak menerusi had kelayakan masa B atau dikenali kategori jemputan.

Bagaimanapun, FINA hanya mengambil enam perenang ranking teratas untuk kriteria kelayakan tersebut bagi setiap 26 acara individu, dan tiada di antara enam perenang kita itu berjaya menempatkan diri pada kedudukan enam terbaik dalam acara masing-masing.

Hanya mereka yang melepasi had masa kelayakan A dijamin penampilan di Pusat Akuatik London, tetapi standardnya cukup tinggi dan adalah terlalu sukar buat para perenang kita untuk mencapainya.

Prestasi Yi Ting dan rakan-rakan bukanlah hambar sepenuhnya, tetapi menjadi ‘mangsa’ kriteria baru kelayakan yang diperkenalkan badan induk antarabangsa itu untuk menjaga kualiti temasya kali ini, dengan mengasingkan dua jenis kelayakan.

Kalau dahulunya, mana-mana perenang yang mampu melepasi had kelayakan B, ia sudah menjamin tempat mereka ke Olimpik.

Malaysia tidak ditawarkan tiket wild card kerana FINA menetapkan hanya negara yang perenangnya tidak mampu melepasi walaupun kelayakan B, akan diberi kelebihan itu.

Ia merupakan keadaan yang sangat tidak adil bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kebanyakan negara lain, kerana pada temasya tersebutlah timbul kontroversi pakaian renang berteknologi tinggi (yang kini dilarang) sehinggakan sejumlah besar rekod dunia dipecahkan.