Gigit jari rugi RM150,000

KUALA LUMPUR: Gara-gara percaya pada pemberian sehelai cek bernilai RM700,000, seorang warga emas mengalami kerugian sebanyak RM150,000 selepas melabur dalam skim ‘Pelaburan Dana Tajaan Kerajaan’ yang dikendalikan seorang ahli perniagaan dan penjawat awam.

Sumber polis berkata, mangsa berusia 60-an itu didatangi seorang kenalan yang merupakan penjawat awam ke rumahnya pada hujung tahun lalu dan ketika itu, dia menyatakan mengenai skim pelaburan berkenaan yang dikendalikan seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata, mangsa yang percaya pada penjawat awam itu membuat keputusan untuk menyertai pelaburan yang menjanjikan hasil lumayan dengan hanya menyerahkan wang tunai yang kononnya akan dilaburkan dalam projek kerajaan serta dijanjikan tidak akan rugi.

Menurutnya, mangsa turut dipertemukan dengan ahli perniagaan berkenaan bagi memberi keyakinan penuh kepadanya dan mangsa diminta memasukkan wang pelaburan melalui akaun bank sahaja.

“Secara berperingkat mangsa sudah memasukkan wang berjumlah RM150,000 ke dalam akaun lelaki itu dan sebagai balasan, mangsa diberikan cek bernilai RM700,000 yang diminta ditunaikan selepas setahun.