Cheng Chu Sian dan Khairul Anuar Bermusuhan

IBARAT ditelan mati emak, diluah mati bapak, itulah situasi yang membelenggu dua pemanah negara, Cheng Chu Sian dan Khairul Anuar Mohamad apabila mereka terpaksa membuat perhitungan sesama sendiri pada aksi pusingan pertama acara individu di Lord’s Cricket Ground, esok.

Pertemuan rakan sepasukan itu tidak dapat dielakkan selepas Chu Sian mencatat 658 mata dan Khairul Anuar, 669 pada aksi penentuan ranking, Jumaat lalu.

Seorang lagi pemanah negara, Haziq Kamaruddin yang mencatat 654 mata akan bertemu Denis Gazanka dari Kazakhstan (670). Undian itu dibuat dengan menemukan pemanah yang mencatat mata tertinggi dengan mereka yang rendah. Chu Sian yang dianggap paling berpengalaman dalam skuad negara kerana pernah mara ke suku akhir menerusi penampilan pertamanya di Beijing, empat tahun lalu, menyifatkan situasi dialami itu mempunyai untung dan ruginya.

“Yang untung, jika menang, salah seorang darpada kami akan dipastikan tempat di pusingan kedua. Tapi, kalau kalah, kita kekurangan seorang lagi wakil dalam temasya ini yang mungkin mengecilkan lagi peluang kita untuk menang,” katanya.

Khairul Anuar yang menjadi pemanah terbaik negara dengan menduduki ranking ke-5 dunia ketika ini pula berkata, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali masing-masing perlu memberikan yang terbaik.

“Soal siapa menang atau kalah tidak lagi penting. Paling mustahak, siapa yang menang itu dapat pergi sejauh mungkin,” katanya yang beraksi buat kali pertama di Olimpik ini.

Sementara itu, Haziq, seorang lagi pemanah yang membuat penampilan sulung di temasya berprestij ini dan akan beraksi hari ini pula berjanji untuk memberikan aksi lebih baik selepas mencatat mata terendah di antara trio itu ketika menentang Mexico pada aksi berpasukan kelmarin.

“Acara individu ini menyediakan peluang terbaik saya untuk mengatasi kekecewaan itu. Jadi, saya harap dapat memberikan aksi yang lebih baik,” katanya.

Satu-satunya pemanah wanita negara, Nurul Syafiqah Hashim pula akan menentang Lin Chia En dari Taiwan pada pusingan pertama. Kelmarin, Nurul Syafiqah menduduki tempat ke-60 daripada 64 peserta ketika pusingan ranking dengan catatan 599 mata.

, , ,