Barisan Pertahanan Harimau Tempang

ANDAI ‘darjat’ jadi ukuran, impian skuad Harimau Malaya untuk melakar kejutan ke atas juara Liga Perdana England, Manchester City pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini tampak sekadar satu lagi episod mimpi indah.

Tatkala gagal ujian pertama apabila dijinakkan satu lagi kelab England, Arsenal dengan keputusan 1-2 di stadium yang sama minggu lalu, ramai yang beranggapan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal dilihat hanya menanti masa untuk digempur habis-habisan oleh skuad The Citizens.

Cuma, ada pihak yang ‘berbunyi’ di luar padang barangkali terlepas pandang bahawa bukan keputusan perlawanan yang dijadikan ukuran sebenarnya.

Sebaliknya, momentum dan persefahaman yang dibentuk pemain dilihat lebih menjadi keutamaan Rajagobal sebagai persiapan awal dalam misinya mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki, November depan.

Kekal optimis dengan pengalaman tidak ternilai yang bakal diraih anak-anak buahnya malam ini, Rajagobal tanpa berselindung juga mengakui, tidak mendapatkan nasihat daripada Wenger menjelang pertemuan berdepan City malam ini.

“Tidak, saya tidak memerlukan apa-apa tips (panduan) daripadanya Wenger (tempoh hari). Bagi saya, Arsenal dan City merupakan pasukan yang berbeza tetapi cukup hebat serta berada dalam kelas tersendiri.

“Justeru, kami akan berdepan mereka dengan cara kami sendiri, selain optimis pemain dapat mempamerkan aksi lebih meyakinkan ketika berdepan City (malam ini),” kata Rajagobal.

Malam ini, tidak mustahil Rajagobal bakal mempertaruhkan ‘skuad eksperimen’ seperti Mahali Jasuli, Mohamad Ashaari Samsudin, Gary Steven Robbat, Mohamad Muslim Ahmad, Baddrol Bakhtiar dan Amiridzwan Taj Tajuddin bagi mengekang ancaman anak-anak buah Roberto Mancini.

Ia ekoran beberapa pemain utamanya seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Subramaniam, Mohd. Bunyamin Umar dan juga peledak gol tunggal ketika berdepan The Gunners tempoh hari, Mohamad Azmi Muslim kini berada dalam senarai baharu pemain yang tercedera.

“Saya mahu pemain jangan terlalu takut serta beraksi dengan cukup yakin tanpa sebarang tekanan.

“Yang penting, jangan ulangi kesilapan ketika menentang Arsenal,” kata Rajagobal.

Dalam pada itu, hampir 2,000 peminat bola tempatan menyaksikan skuad City menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Latihan selama sejam itu dikendalikan oleh pengurus City, Roberto Mancini.