Bantahan kepada AFC Telah Dibuat

Myanmar berjaya menewaskan Harimau Muda 2-1 semalam dan seterusnya layak secara automatik ke Piala AFC B22.

Perlawanan berlangsung di hadapan lebih 25,000 penyokong tuan rumah Myanmar dalam cuaca hujan lebat.

Ong Kim Swee yang kecewa dengan keputusan itu berkata: “Kami tidak beraksi pada apa yang dijangkakan. Kami tidak beraksi dengan baik pada separuh masa pertama tetapi telah bangkit pada separuh masa kedua dan memberikan Myanmar masa yang sukar.”

Sementara itu, terdapat juga khabar yang mengatakan Myanmar telah mendaftarkan  pemain lebih umur di Kelayakan AFC B22 ini dan dipercayai terdapat tiga pemain Myanmar semalam berumur lebih dari 22 tahun.

“Kami ada dengar tentang perkara itu dan saya rasa ini perkara serius yang harus dilihat. Saya harap malam ini (semalam) kami tewas dengan pemain remaja dan bukannya pemain dewasa.

Kyaw Zayar Win yang sudah berumur 24 tahun

Kaung Si Thu yang sudah berumur 25 tahun

“Pada saya beberapa pemain Myanmar kelihatan matang cara permainannya.” tambah Ong Kim Swee.

Selepas tamat perlawanan, pengurus pasukan Harimau Muda, Dato’ Afandi Hamzah turut mengesahkan bahawa pihak mereka telah menghantar surat protes terhadap pasukan Myanmar yang menurunkan pemain lebih umur kepada Komisioner Perlawanan AFC semalam.

Mengikut peraturan AFC, bantahan hanya boleh dibuat dalam masa dua jam selepas tamat perlawanan.

“Kami telah menghantar surat protes kepada Komisioner Perlawanan malam ini (semalam) berkenaan dengan Myanmar yang dilaporkan telah mendaftarkan dan menurunkan pemain-pemain lebih umur dalam Kelayakan Piala AFC B22 ini.

“Selepas ini, pihak FAM akan menghantar surat susulan beserta dengan surat protes ini kepada AFC apabila kami pulang ke Malaysia.” kata Dato’ Afandi.